Tiada kebaikan pada arak, mengapa perlu didukung?

SEJAK dahulu, meminum arak menjadi amal kebiasaan pada masyarakat jahiliyah. Hatta ke saat ini, ia menjadi suatu tarikan minuman yang digilai sebahagian golongan manusia.

Tahukah anda arak merupakan antara pembunuh utama di dunia?

Kajian WHO mendapati, arak adalah sejenis minuman yang tidak mendatangkan kebaikan untuk kesihatan.

Mengikut data yang dikeluarkan oleh WHO, sebanyak 3 juta kematian setiap tahun dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada keburukan alkohol.

Bahkan ia turut menjadi punca utama yang mengakibatkan masalah kecelaruan mental dan sikap.

Advertisement

Di kala pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini, arak boleh menjadi penyebab sistem imunisasi manusia rosak teruk dan mengurangkan kemampuan daya tahan manusia untuk menghadapi virus Covid-19.

Dalam agama Islam, hukum arak jelas haram. Allah s.w.t. berfirman:

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَیۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسࣱ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ)
[Surah Al-Ma’idah 90]

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Ayat di atas merupakan dalil pengharaman arak secara total kepada umat Islam. Pengharaman tersebut merangkumi perbuatan minum, jual, beli, hidang dan lain-lain.

Namun, arak masih menjadi kegilaan manusia yang kononnya ingin merasai kenikmatan dunia.

Apakah yang lebih patut dambakan? Nikmat dunia atau nikmat akhirat? Oleh itu umat Islam seharusnya menyokong sebarang tindakan yang telah dilakukan dengan maksud mencegah atau meminimakan penjualan arak.

Sokongan itu termasuk oleh pihak-pihak tertentu seperti pihak pemerintah. Larangan penjualan arak oleh pemerintah termasuk dalam perbuatan mencegah kemungkaran dengan tangan.

Namun agak malang apabila ada di kalangan Ahli Parlimen Islam khususnya baru-baru ini dari Parti Amanah Negara (PAN) tidak menyokong tindakan Menteri Wilayah untuk melarang arak dijual di kedai runcit sedangkan ia hanya suatu ikhtiar permulaan dan bukannya larangan secara total.

Bahkan MP ini mengecam garis panduan terbaru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan minuman keras tahun depan dan menyifatkannya sebagai bertentangan dengan hak kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan.

Mendokong dan menyokong kebaikan serta menolak kemungkaran dan kemusnahan, tidak kira di posisi mana kita berada adalah satu keperluan.

Menjadi kerajaan biarlah bermanfaat untuk ummah dan negara. Menjadi pembangkang biarlah yang bermanfaat untuk semua. Membangkang bukan bererti membangkang segala-galanya.

Ingatkan pesan Rasulullah s.a.w.:

من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيرا او ليصمت
(Muttafaqun ‘alaih)

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka katakanlah yang baik-baik atau diam.

Jika tidak bersetuju dengan kerajaan dan terlalu ingin menjaga hati dan perasaan kawan, janganlah sehingga menegakkan larangan agama yang membawa kemudaratan dan kemusnahan. Sekurang-kurangnya, berdiam itu jauh lebih baik dan hikmah.

Berpolitiklah dengan sejahtera. Memastikan kesejahteraan negara, amalan gaya hidup, halal dan haram difahami.

Kami dari Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Menteri Wilayah tersebut. Siru ala barakatillah.

Mumtaz Basha,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan ( DPPN9 2019-2021) – HARAKAHDAILY 24/11/2020