PAS DUN Sabai santuni keluarga India Muslim

- Advertisement -

BENTONG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS DUN Sabai melalui program Ziarah Cakna ‘We Care DUN Sabai’ telah menyantuni keluarga India Muslim di Telemong, Karak, di sini petang semalam.

- Advertisement -

Program ini bertujuan mengambil berat golongan mualaf agar berasa dilindungi dan selamat di bawah pimpinan Islam, selain mendidik dan mengikat mereka dengan cara hidup Islam sebenar.

Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Dakwah PAS Kawasan Bentong, Ustaz Zamri Mat telah mewakili Pengarah DUN Sabai, Ustaz Junaidi Ishak bagi memimpin program dakwah ini.

Turut terlibat menjayakan program ini adalah Pengerusi MIC Cawangan Karak, Sivalingam Dato Sinnathamby dan Ahli Jawatankuasanya yang telah diundang khas oleh PAS Sabai.

Mereka telah bertindak sebagai penterjemah bahasa kerana pihak PAS Sabai telah dimaklumkan bahawa keluarga mualaf tersebut tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu.

Keluarga pertama disantuni adalah Muhammad Jiman Muhammad Yusuf yang bekerja di kilang bata di Telemong dan isterinya Nurshila Abdullah serta dua anak mereka Nur Hidayah Khadijah dan Muhammad Sulaiman.

Manakala keluarga kedua ialah Sayuti Anuar yang bekerja sebagai buruh di ladang sawit di Sertik dan isterinya Noraini Othman pekerja di Ladang Ayam Sri Telemong.

Noraini seringkali terpaksa meninggalkan keluarga demi menampung perbelanjaan di mana mereka mempunyai tujuh anak dengan enam daripadanya masih dalam tanggungan.

“Saya mengharapkan dengan Ziarah Cakna dan sumbangan ini akan meringankan sedikit beban mereka. Ini adalah sebagai langkah permulaan untuk kami panjangkan kepada pihak-pihak lain seperti JAIP,  Pusat Zakat,  PERKIM.

“Juga individu-individu lain yang prihatin, agar keluarga mereka mendapat perhatian sama ada dalam bentuk kewangan, tarbiah dan pendidikan,” ujar Ustaz Zamri menyampaikan sumbangan berupa wang dan sedikit barangan dapur. 

Beliau juga menegaskan bahawa program seperti ini membuktikan bahawa keprihatinan PAS adalah kepada semua pihak tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Turut hadir bersama ialah Ketua Muslimat PAS Cawangan Karak Setia, Zarina Puteh dan Setiausaha PAS DUN Sabai, Mohd Khairil Yusoff serta wakil Pemuda PAS Karak Setia, Zikrillah Ramli. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -