Outreach tangani masalah dadah dalam keluarga

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Penaga telah menganjurkan program Outreach Kekeluargaan “Ambil Kisah, Ambil Tindakan” di sekitar Penaga, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program ini bertujuan memberi pengetahuan kepada keluarga mengenai senario dadah semasa di negara ini, selain kemahiran ibu bapa untuk menyampaikan maklumat antidadah kepada anak-anak ke arah mewujudkan persekitaran sihat dan selamat.

Program telah dijayakan Penolong Pengarah AADK Pulau Pinang, Mohd Zaki Ablah dan Ketua Pegawai AADK Daerah Seberang Perai Utara, Zulkifli Alapitchay serta ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.

Sebanyak 68 rumah penduduk sempat dikunjungi melibatkan enam kumpulan sukarelawan dengan berfokuskan beberapa penempatan berisiko tinggi dadah dalam DUN ini iaitu di Bakau Tua, Pulau Mertajam dan Kuala Muda.

Keluarga yang dikunjungi telah diberikan tiga risalah utama antidadah itu bertajuk Panduan Berguna Untuk Ibu Bapa, Jenis-jenis Dadah dan Bahan Terlarang, serta Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita, selain sumbangan hamper.

“Program ini mengambil satu langkah baharu dalam mendekati golongan ibu bapa untuk memahamkan mereka sepenuhnya kepentingan pencegahan dadah dari dalam rumah.

“Ini kerana rumah dan keluarga adalah institusi pendidikan pertama bagi setiap individu. Di situlah bermulanya pembentukan nilai, tingkah laku dan karakter seseorang individu,” ujar Ustaz Yusni.

Bersama program ini adalah Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas, Subhi Omar dan Pengarah Majlis Tindakan DUN Penaga, Zaharen Abdul Kadir serta Muslimat Penaga dan Jabatan Amal. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -