K’jaan Pahang dicadang wujudkan kawasan bebas niaga

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dicadang supaya mengambil langkah sama seperti Kerajaan Negeri Kedah yang mewujudkan inisiatif kawasan bebas niaga di seluruh negeri itu selama setahun dan percuma.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang, Ustaz Shahrizan Md Esa berkata, walaupun Kerajaan Pahang ada melaksanakan strategi seumpama dengan melonggarkan syarat kepada peniaga, tetapi ia terhad hanya di Majlis Perbandaran Kuantan.

Menurutnya, strategi Kerajaan Pahang mensejahterakan kehidupan rakyat dengan polisi semasa tersebut perlu diperluaskan kerana fokusnya untuk menangani impak ekonomi rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, bukan hanya penduduk di Kuantan terkesan, bahkan rakyat seluruh negeri ini. Jadi saya berharap inisiatif sama dapat diizinkan pelaksanaannya di seluruh pelusuk negeri ini dengan syarat-syarat yang mesra seperti Kedah.

“Kasihanilah mereka yang hilang pekerjaan atau kurang pendapatan. Ini peranan kerajaan selain memberi bantuan keperluan, memudahkan polisi seumpama ini juga akan sangat membantu fasa pemulihan,” ujarnya.

Ketika sama beliau berharap sekiranya rakyat diberi peluang sebegini, mereka akan memanfaatkannya dengan baik untuk meraih rezeki halal dan diberkati serta mematuhi syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan.

Antara perlu diberi perhatian dan kerjasama peniaga katanya, adalah aspek keselamatan dan kebersihan persekitaran, selain juga peluang mempromosikan sebarang bentuk jualan atau produk bersifat tempatan negeri ini.

“Jadi, selain memperolehi pendapatan, jadilah kita sebagai Duta Negeri Pahang, mungkin ada jualan kita yang dibeli oleh pembeli dari luar. Perkenalkan budaya Pahang, eratkan silaturahim dan rasa saling membantu,” seru beliau.

Dalam menangani situasi ekonomi pada ketika ini, beliau juga menyeru rakyat Malaysia seluruhnya mengimbangi keadaan tersebut dengan menyahut seruan kerajaan menerusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Katanya, hal tersebut bukan sahaja penting dalam meningkatkan aliran wang dalam pasaran negara dan tidak mengalir keluar, tetapi juga sebagai menyokong para pengeluar atau peniaga tempatan untuk segera memulih.

Selain itu juga serunya, selain budaya baharu pembelian secara atas talian, orang ramai perlu juga membiasakan diri membeli barangan harian terutamanya di pasar tani atau FAMA dan seumpamanya demi membantu penjaja.

Menurutnya, kebanyakan mereka itu turut terjejas, malah berada dalam kelompok miskin, tetapi gigih berusaha, malah jualan barangan keperluan seumpama tersebut juga kini boleh didapati secara atas talian. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -