Kelantan belum muktamad benar operasi hingga 12 malam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan belum membuat keputusan untuk membenarkan semua kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak beroperasi hingga jam 12 tengah malam.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sebarang keputusan akan diketahui esok, pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kelantan.

“Esok ada mesyuarat MKN peringkat negeri, jadi hari ini kita tidak boleh membuat sebarang keputusan. Kita kena tunggu esoklah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, yang membenarkan semua kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beroperasi hingga jam 12 tengah malam, bermula hari ini.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, kata Mohd Amar, setiap hari Kelantan mempunyai kes baru Covid-19 berikutan saringan ‘agresif’ yang telah dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Tindakan itu sekaligus menyebabkan kes baharu sering ditemui, katanya selepas menunaikan solat hajat di bangunan pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang baru di Tunjong, dekat sini, hari ini.

Jelas Mohd Amar, tindakan itu adalah usaha bersungguh pihak JKN kerana bimbang jangkitan kes tersebut merebak pada skala yang lebih besar.

“Tidak bererti Kelantan semakin meningkat dengan penularan kes Covid-19. Jika kita lihat jangkitan paling tinggi baru-baru ini seramai 17 orang, kini telah menurun kepada lapan orang dan semalam tujuh orang,” ujarnya.

Mohd Amar berharap, dengan adanya PKPB ini dalam tempoh dua minggu, jumlah kes jangkitan Covid-19 dapat diturunkan. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -