KASA pertimbang guna talian 999

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar (KASA) kini berada di dalam perbincangan awal dengan pihak berkaitan untuk menggunakan talian 999 sebagai talian aduan jenayah pencemaran alam sekitar.

Menurut Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, cadangan yang dilontarkan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir supaya talian 999 dimanfaatkan KASA merupakan satu cadangan yang baik.

Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah pun mempunyai sistem pengurusan aduan kecemasan di seluruh negara melalui hotline JAS di 1-800-88-2727.

Hotline tersebut juga boleh menggerakkan pejabat JAS Negeri dan beroperasi secara 24 jam 7 hari seminggu, katanya.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, kata Tuan Ibrahim, talian 999 adalah kemudahan untuk mendapatkan bantuan terutama melibatkan keselamatan nyawa.

Buat masa ini, sistem bersepadu tersebut hanya menggabungkan perkhidmatan kecemasan bagi lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ujarnya.

Namun, sekiranya kedua-dua sistem tersebut dapat diintegrasikan, ia membolehkan laporan kes kecemasan jenayah alam sekitar yang diterima, dapat diurus dengan cekap.

Malah, tindakan serta merta di lapangan juga dapat digerakkan, ujarnya.

Justeru itu, KASA telah mengambil tindakan dan perbincangan awal telah dilakukan dengan pihak berkaitan berkenaan perkara ini, tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -