KASA akan rencana Dana SDG

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan merencanakan peruntukan Dana Amanah Malaysia Sustainable Development Goals (SDG) yang disebut di dalam Belanjawan 2021 untuk tujuan kelestarian alam sekitar.

Menurut Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, sekiranya diberi ruang dan peluang, ia akan direncanakan untuk mencapai sasaran-sasaran SDG berkaitan alam sekitar.

Malah, KASA telahpun memulakan program kerjasama bersama institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang dinamakan Green Campus Tour, ujarnya.

- Advertisement -

Tambah Tuan Ibrahim, Green Campus Tour menekankan pendekatan holistik terhadap kelestarian alam sekitar di kalangan pelajar universiti.

Jelasnya, IPT memainkan peranan penting dalam memperjuang dan mengutamakan pembangunan kelestarian alam sekitar bersama-sama kerajaan dan bukan sahaja menjadi rujukan ilmu serta kepakaran pelbagai bidang.

Sementara itu, dalam memastikan keseimbangan dan kelestarian alam terjamin, KASA juga telah pun menguatkuasakan AKAS 1974.

Kata Tuan Ibrahim, peruntukan Akta ini mensyaratkan perancangan pembangunan projek di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Antara usaha lain, KASA turut menggunakan pendekatan pemantau kendiri dan pemantauan berterusan yang merupakan elemen penting dalam memastikan pembangunan lestari dicapai.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -