Dr Kamarul menang saman RM8 juta ke atas pegawai DAP

Kes jadi bukti DAP hanya perguna dan tidak membela Melayu

KUALA LUMPUR: Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff mengesahkan bahawa beliau telah memenangi saman yang dibuatnya ke atas Pegawai Khas Pengerusi DAP Sarawak iaitu Abdul Aziz Isa Marindo.

Advertisement

Menurut pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur pada 6 November lalu telah memerintahkan Abdul Aziz membayar ganti rugi sebanyak RM8 juta bersama faedah 4 peratus setahun.

Keputusan tersebut dibuat ekoran tindakan pegawai DAP itu terhadap 22 perkara memfitnah dan memburukkan reputasi yang antara terbanyaknya menuduh Dr Kamarul mempunyai sikap melampau terhadap ajaran agama lain.

Ketika dihubungi, Dr Kamarul berkata, kes ini menjadi mercu tanda sejauh mana DAP sanggup membela ahli Melayunya yang berdepan masalah setelah tenaga mereka dipergunakan, dan dalam kes ini DAP tidak membantu mungkin kerana tahu tetap akan kalah jika melawan.

“Begitupun, bagi saya, walaupun kemenangan ini agak manis, ia sebenarnya hanyalah pembakar semangat untuk saya di dalam perbicaraan ke atas lima pemimpin besar DAP lain yang semuanya merupakan Ahli Parlimen,” maklum beliau.

Senarai beliau, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berdepan saman RM8 juta, manakala Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang masing-masing berdepan saman RM5 juta.

Turut disaman RM5 juta adalah masing-masing ke atas Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng atas kenyataan fitnah dibuat semua kelima pemimpin DAP tersebut terhadap Dr Kamarul.

Mereka bukan sahaja menyerang kredibiliti Dr Kamarul sebagai ahli akademik, malah menuduh peribadinya dengan label berkait keganasan dan mengembangkan kebencian ke atas diri beliau, selain dikaitkan dengan politik.

Seperti juga tuduhan Abdul Aziz, perkara paling banyak difitnah mereka ke atas Dr Kamarul adalah berkaitan agama dan kepercayaan serta perkauman. – HARAKAHDAILY 24/11/2020