Di sebalik pengakuan herba berjaya rawat COVID-19

ISU Tanzania merawat COVID-19 dengan herba amat menarik untuk dibincangkan. Kerana saya dapati golongan pentaksub teori konspirasi dan sewaktu dengannya selalu membawa hujah ini. Kononnya Tanzania telah berjaya melawan COVID-19 dengan ubatan herba yang diramu khas oleh kerajaan. Lantas para pencinta herba bagai terus menuduh Kerajaan Malaysia masih terkebelakang dalam bab ramuan herba. Bahkan mereka menuduh KKM terlalu mengikut telunjuk WHO yang sebagai Dajal untuk membunuh sunnah umat manusia.

Apa sebenarnya berlaku dekat Tanzania itu?

Tanzania sudah masuk fasa menyerah kalah dengan wabak COVID-19. Sebagaimana kita tahu COVID-19 adalah virus Corona bermutasi baharu. Tiada negara yang setakat ini berjaya sepenuhnya menghapuskan COVID-19. China disebut sebagai berjaya, namun masih lagi berlaku kes setiap hari. Kejayaan Kerajaan China menurunkan kes pun mengikuti apa yang disarankan oleh WHO sebagaimana yang dilaporkan dalam jurnal The Lancet keluaran 8 Oktober 2020.

Advertisement

“Wuhan was placed under a strict lockdown that lasted 76 days. Public transport was suspended. Soon afterwards, similar measures were implemented in every city in Hubei province. Across the country, 14 000 health checkpoints were established at public transport hubs. School re-openings after the winter vacation were delayed and population movements were severely curtailed. Dozens of cities implemented family outdoor restrictions, which typically meant that only one member of each household was permitted to leave the home every couple of days to collect necessary supplies. Within weeks, China had managed to test 9 million people for SARS-CoV-2 in Wuhan. It set up an effective national system of contact tracing.”

Hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan kita sekarang.

Di Tanzania pula, Presiden mereka sendiri terlibat dalam mempromosi produk yang tiada bukti klinikal. Presiden lebih mempercayai testimonial yang dilakukan atas anak sendiri yang dijangkiti COVID-19. Anaknya sembuh. Dalam masa sama seorang dari kakitangan kerajaan bernama Dr Hamis Malebo, mempromosi produk kesihatan dengan ramuan beberapa buahan dan herba (jenama Covidol). Kononnya berjaya merawat COVID-19 melalui kajian yang dilakukan oleh beliau sendiri.

Namun kenyataan beliau itu disanggah oleh National Institute Medical Research (Tempat Dr Hamis Malebo bekerja). Bahkan Dr Paul Mohammed dari Kementerian Natural Medicine dan Alternative Medicine menegaskan Covidol tidak diluluskan oleh kementerian. 

Jika dilihat statistik COVID-19 di Tanzania, jumlah adalah sedikit berbanding dengan populasi penduduk 60 juta. Kenapa begitu?

Kerajaan mengamalkan dasar tertutup, pengamal media dalam dan luar disekat membuat liputan semasa COVID-19 di sana. Perkara ini menjadi satu kritikan besar di kalangan pengamal media. Sehinggakan terdapat wartawan yang ditangkap dan dikenakan tindakan penjara oleh kerajaan kerana membuat liputan. Oleh itu liputan mengenai sistem saringan kes, kuarantin dan rawatan tidak diketahui dengan tepat jumlahnya.

Moral of the story, rakyat diminta jangan mudah terpengaruh dengan berita-berita yang tidak sahih. Rakyat jangan cuba melenting apabila disebarkan video yang tidak tahu hujung pangkal apa yang telah dilakukan oleh pakar-pakar dalam pengurusan COVID-19 ini. Walaupun kita tidak berjaya sepenuhnya, tetapi kita masih belum menang dalam berlawan dengan wabak jenis baharu ini.

Doakan. 

“Allah Jaga Kita”

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 24/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.