Bebaskan lubuk duit kerajaan dari palitan rasuah

WAHAI sebahagian orang-orang yang bekerja di Pejabat Tanah (termasuk PBT), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan semua agensi penguatkuasaan, tidakkah kamu takut kepada seksaan Allah S.W.T.

Jangan kamu gadaikan kepentingan agama, bangsa dan negara ini untuk keseronokan dunia yang sementara. Saya tidak kata semua. Segelintir yang buat, semua terpalit, termasuk mereka yang tidak berdosa. Pengkhianatan yang dibuat sehingga tergadainya tanah Melayu kepada orang lain.

Pemberian dokumen surat beranak dan kad pengenalan secara haram dan menyelewengkan penggunaan pasport, cop, visa dan sebagainya, telah menyebabkan kedaulatan negara ini melibatkan agama, bangsa dan negara tergugat.

Advertisement

Kebelakangan ini isu-isu berkaitan pencerobohan tanah melibatkan Pejabat Tanah, contoh, tanah Musang King ultra kiasu, tanah rizab Melayu tergadai, tanah untuk orang awam yang tergadai dan lain-lain. 

Menjadikan kita tertanya-tanya siapakah dalang yang menyebabkan tanah tergadai. Sudah tentu orang akan melihat siapakah exco yang bertanggungjawab dan orang yang bekerja di pejabat tanah. 

Di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), heboh dengan penjualan surat beranak dan kad pengenalan kepada warga China. Manakala di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sindiket penyeludupan manusia. Cop pasport, visa lawatan dan sebagainya.

Begitu juga jabatan penguatkuasa dan beruniform lain yang berkaitan, seperti Kastam, Polis dan lain-lain. Boleh dikatakan semua ketua tertingginya, jabatan berkenaan adalah orang Melayu, kecuali Pelabuhan. Termasuk orang politik dan wakil rakyat yang menyokong. Semua bertali temali.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Apa jadi dengan Melayu? Melayu jual tanah Melayu, Melayu jual maruah bangsa, maruah agama, hanya kerana mahu hidup mewah. Terbaharu, teramat malang mendengar, salah seorang daripada 34 pegawai imigresen yang ditahan atas penglibatan mereka dalam sindiket imigresen mempunyai rekod jenayah samun dan curi kereta.

Menurut sumber, pegawai berpangkat rendah gred KP19 itu memiliki 4 kereta mewah yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap sindiket berkenaan.

Kereta mewah tersebut terdiri daripada Rolls-Royce Phantom, Mustang, Audi serta Range Rover dan kesemuanya disimpan bagi pihak pegawai itu oleh seorang ejen pekerja asing. Semakan rekod polis menunjukkan, anggota imigresen itu juga mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes samun dan curi kenderaan.

Anggota ini dipercayai merupakan ahli sindiket mencuri kenderaan dan samun yang diketuai ejen (pekerja asing). Terlibat dalam kegiatan kongsi gelap. Peliknya, bagaimanakah seseorang yang mempunyai rekod jenayah lampau boleh dilantik ke jawatan perkhidmatan awam?

Menurut sumber itu lagi, ejen pekerja asing terbabit dikehendaki polis berhubung kes samun dan curi kereta serta konspirasi jenayah berkaitan sindiket pelacuran melibatkan warga China.

Dua belas (12) ejen pekerja asing ditahan dalam operasi dikenali Ops Selat dan kesemua mereka merupakan anggota sindiket penyeludupan manusia antarabangsa.

Sepuluh orang awam lain turut ditahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menyimpan rasuah yang dikutip oleh pegawai imigresen.

Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi dirampas.

Sindiket itu beroperasi berdasarkan dua (2) kaedah, iaitu menyediakan ‘pasport terbang’ kepada mereka yang memasuki Malaysia, dengan menggunakan visa lawatan, tetapi bekerja di sini secara tak sah.

Ejen pekerja terbabit akan mengutip pasport mereka dan membayar pegawai imigresen untuk mengecop pasport supaya ia menunjukkan mereka telah meninggalkan negara ini sebelum penamatan tempoh tinggal selama 90 hari di bawah visa lawatan dan kemudian memasuki semula negara secara sah.

Modus operandi lain ialah dengan ‘menyediakan kaunter’ kepada migran yang disenarai hitam atas kesalahan imigresen. Migran terbabit akan menuju ke kaunter khas ini di lapangan terbang dan membayar RM6,000 untuk meninggalkan negara walaupun mereka disenarai hitam daripada berbuat demikian.

Tangkapan demi tangkapan ke atas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan betapa perkara telah lama bersarang dan betapa lemah kita berhadapan cabaran integriti.

Sukar dipercayai anggota JIM terbabit dibiar melakukan kegiatan haram masing-masing sebegitu lama, tanpa disedari atasan mereka, kecuali jika pihak atasan sendiri terbabit. Begitu juga salah laku pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara di Pulau Pinang yang ditahan pada tahun lalu.

Seramai enam (6) orang termasuk penolong pengarah JPN dikenakan dengan 32 tuduhan memalsukan surat beranak Malaysia dan Mykad untuk dijual kepada orang asing dari China.

Berdasar kepada semua bukti ini, Pejabat Tanah, JIM dan JPN adalah antara tiga jabatan kritikal yang mesti diteliti oleh agensi penyiasatan dan keselamatan kerajaan yang berkaitan.

Kegiatan haram dan kehidupan haram yang dilakukan kakitangan kesemua agensi ini adalah pengkhianatan yang sangat serius. Kerajaan tidak boleh bertoleransi sama sekali.

Tiga jabatan ini mesti dirombak sepenuhnya. Pegawai tertinggi yang berada di semua jabatan ini mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika berlaku lagi salah laku pada masa depan.

Benarlah apa yang kita semua perkatakan selama ini, sebenarnya musuh orang Melayu adalah orang Melayu sendiri, Melayu yang korup, yang menjadi tali barut, yang menjadi dalang dan yang menyalahgunakan kuasa.

Bertaubatlah… sama ada yang telah pencen atau belum, kesalahan yang kamu lakukan untuk mendapatkan habuan dunia, amat besar dosanya. Kamu mungkin terlepas di dunia, tetapi di akhirat kamu tidak akan terlepas, walaupun selepas pencen, kerja kamu mendekati dan bersedekah kepada masjid surau. 

Kesalahan dan pengkhianatan besar yang kamu lakukan tidak dapat menutup kebaikan di hari tua kamu, kecuali dengan taubat, dan serah diri dengan menyampaikan maklumat untuk pihak berkuasa bertindak. Perbetulkan semula apa yang salah. Ini kerana, pengkhianatan dan kesalahan yang kamu lakukan lebih hina daripada membunuh. 

Pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara melibatkan masa depan negara. Masa depan anak cucu. Mana mungkin tanah boleh ‘hilang’ begitu sahaja tanpa pengetahuan Pejabat Tanah. Mustahilkan? Tidakkah kamu sedar rezeki yang kamu suapkan ke mulut anak bini, mak bapak kamu itu adalah daripada hasil yang haram. 

Kepada anak isteri, mak bapak, anggota yang terlibat, takkan kamu tidak tahu, anak kamu anggota berpangkat rendah, boleh hidup mewah, dan dengan kenderaan mewah, sudah tentu ada yang tidak kena. Kenapa kamu bersubahat. Laporlah kepada pihak berkuasa demi anak bangsa. 

Kita semua tidak akan terlepas daripada seksaan Allah S.W.T, sekiranya kita tahu, apa yang dibuat itu salah, kita biarkan sahaja. 

Bertaubatkan wahai saudaraku sebelum terlambat, selamatkan anak bangsa dan tanah air tercinta ini. Kita tidak punyai tanah lagi, melainkan tanah tercinta ini. Musuh-musuh di luar sana, menunggu masa untuk menghancurkan kita semua.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 24/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.