6 keluarga terperangkap kampung dinaiki air

PASIR PUTEH: Kira-kira 27 orang dari enam keluarga di Kampung Tok Kundor terperangkap disebabkan jalan ke kampung mereka dinaiki air sedalam antara 1.3 meter hingga 1.5 meter ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (PPGB) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, mereka terpaksa menggunakan sampan mengharungi air sepanjang 800 meter untuk keluar mendapatkan barang keperluan dan makanan di bandar Pasir Puteh.

Advertisement

“Sehingga kini, barang keperluan harian termasuk beras, sardin, gula, teh serta keperluan lain sudah dihantar kepada keluarga berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui disini, hari ini.

Azhar berkata, buat masa ini rumah-rumah mereka masih dalam keadaan selamat dan mereka disaran supaya duduk dirumah masing-masing daripada dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Ia bagi mengelak daripada tinggal bersesak di pusat pemindahan sementara sekaligus membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini dan jika kediaman mereka turut dinaiki air, mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang berdekatan.

Keadaan cuaca pagi ini, hujan renyai-renyai kadangkala lebat, ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2020