YANG kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Sidang Belanjawan Negeri Kedah 2021 yang telah berlangsung baru-baru ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Kedah – Perikatan Nasional untuk membela semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik.
PAS Kedah melihat ketiadaan wakil rakyat berbangsa India dalam kerajaan hari ini bukanlah bererti kebajikan dan kepentingan kaum India diketepikan. Di era milenia serba moden ini amatlah tidak tepat bagi Pemuda MIC Kedah menuduh YAB Menteri Besar Kedah sebagai kurang bijak, mengamalkan fahaman Etnocentrisme melampau, cauvinis, ultras agama dan cetek akal hanya disebabkan sikap semula jadinya yang suka bergurau. Tuduhan dengan mengatakan beliau tidak serius atau berjenaka adalah tidak tepat sama sekali.
Berulang kali beliau menyebut dalam sidang tersebut beliau telah bersetuju berunding dengan semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama dan sekiranya terdapat mana-mana polisi serta tindakan yang menindas kaum minoriti di negeri bertuah ini, mereka akan diberi keutamaan yang sama rata.
PAS Kedah mengingatkan tidak perlu dipersoalkan kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang telah sedia ada. Tidak perlu menyebut bagaikan dilayan seperti ‘warga kelas ketiga’ kerana ianya tidak wujud kerana tidak ada peruntukan khusus tertentu tanpa melihat dalam kerangka belanjawan yang menyeluruh. Biarlah kita memahami dan menjiwai konsep adil yang sebenar iaitu meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya.
Sehubungan itu PAS Kedah menyeru sesiapa sahaja sama ada pimpinan, persatuan atau inidividu yang mewakili komuniti India yang membentuk 6.8 peratus rakyat Negeri Kedah agar segera ke meja perundingan, bersama-sama merangka muafakat demi menjaga keharmonian, keamanan dan perpaduan rakyat di Negeri Kedah yang tercinta ini.
Bulat air kerana pembentung,
Bulat Manusia kerana Muafakat.
“اسلام ممڤركوكوه ڤرڤادوان”
USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
7 Rabiul Akhir 1442H | 23 November 2020 – HARAKAHDAILY 23/11/2020