Suamiku, bawalah aku ke syurga

TAJUK ini bukan sahaja untuk bacaan para isteri tetapi juga untuk tatapan para suami, untuk membawa para isterinya ke syurga. Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W bahawa suami itu sendiri adalah pintu syurga seorang isteri:

Advertisement

“Dari Husain bin Mihsan al-Ansari, Rasulullah S.A.W telah bertanya kepada ibu saudaranya: “Apakah kamu mempunyai suami? Ibu saudara al-Husain menjawab: “Ya sudah.” Bertanya Nabi lagi: “Bagaimana sikap kamu terhadap suami kamu?” ia menjawab: “Aku tidak pernah mengurangi haknya kecuali dalam perkara yang aku tidak mampu daripadanya.” Baginda bersabda: “Lihatlah di mana keberadaanmu ketika bersama suamimu. Maka hanyasanya suamimu itu adalah syurgamu dan nerakamu.””

Jelas, ini adalah salah satu ciri-ciri wanita solehah. Dia bersedia untuk menyempurnakan semua hak suaminya kecuali di ketika dia tidak mampu. Lalu Nabi berpesan kepada wanita ini. Pesanan ini juga untuk seluruh para wanita, yang merasakan dirinya seorang muslimah, dengarlah hadis di atas seakan-akan engkau sendiri mendengar daripada Rasulullah S.A.W.

Jadi para isteri yang sudah menjadi isteri atau para wanita yang masih belum bernikah, hendaklah berfikir bahawa pernikahan ini sesuatu yang sangat mulia. Di situ ada syurga dan neraka. Ramai wanita tidak peduli dengan suaminya, apalagi kalau sudah dikurniakan anak, apalagi kalau anaknya sudah ramai. Dia berfikir bahawa kewajibannya sekarang adalah mengurus anak-anak suaminya. Bahkan ada wanita kalau ditanya oleh suaminya: “Sayang, awak pilih saya atau anak-anak?” Agak-agaknya apa jawapan si isteri? “Anak,” jawabnya. Kadang kala dia sudah tidak peduli dengan suami di ketika usia tuanya, sedangkan kewajipan isteri kepada suami sehingga mati.

Allah mengatakan:

وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ

“Beribadahlah kepada Rabb-mu sampai engkau didatangi oleh kematian.”

(al-Hijr: 99)

Ertinya berbuat baiklah kepada suami, sehingga mati, seperti dalam surah Ali Imran ayat 102:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Seorang wanita yang ingin dibawa suaminya ke syurga, hendaklah belajar ilmu pengurusan rumah tangga sebelum bernikah. Mengetahui setiap yang harus dilakukan sesudah bernikah dan sesudah suaminya meninggal dunia. Kerana kita semua tahu di ketika seorang wanita ditinggalkan mati oleh suaminya, kalau suaminya masuk syurga, dia cari tak isterinya? Kalau isteri yang solehah pasti akan dicari oleh suaminya, dia mohon kepada Allah untuk menjadi penemannya di syurga.

“Diceritakan oleh Allah dalam firman-Nya, (Hassan al-Basri ketika menafsirkan ayat ini menasihati – perbanyakkan berteman dengan orang yang beriman, kerana mereka memiliki syafaat pada hari kiamat), ini peristiwa di hari kiamat nanti, tatkala ada seorang yang masuk syurga, kemudian dia bertanya kepada Allah, ya Allah, mana sahabatku yang biasa duduk bersama aku, tidak ada di syurga, lalu di katakan oleh Allah, “Pergilah ke neraka, lalu keluarkan sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman walaupun hanya sebesar zarrah”.” 

(Hadis Riwayat Ibnul Mubarak dalam kitab Az Zuhd)

Maka orang ini mengatakan, Ya Rabbi! Kebahagiaanku tidak akan sempurna kalau dia tidak bersamaku di syurga. Maka di ketika ini orang itu akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Syafaat dari siapa? Sahabatnya. Maka penghuni neraka akan bertanya, si polan ini, macam mana boleh keluar dari neraka? Siapa yang berikan syafaat kepada dia? Apakah Nabi yang berikan syafaat kepada dia, Rasul, Malaikat-malaikat Allah, ada dalam keluarganya yang mati syahid, atau siapa? Tidak! Yang memberikan dia syafaat adalah sahabatnya. 

Maka penghuni neraka pada masa itu akan menangis, kita tidak mempunyai sesiapa untuk memberikan syafaat dan kita tidak mempunyai sahabat-sahabat baik yang ingat kepada kita seperti dalam surah Ghafir ayat 18:

وَأَنذِرۡهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡـَٔازِفَةِ إِذِ ٱلۡقُلُوبُ لَدَى ٱلۡحَنَاجِرِ كَـٰظِمِینَۚ مَا لِلظَّـٰلِمِینَ مِنۡ حَمِیمࣲ وَلَا شَفِیعࣲ یُطَاعُ

“Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka mengenai (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.”

Bagaimana dengan suami yang masuk syurga yang selama hidupnya, dia dilayani baik oleh isterinya, agak-agak kalau dia di syurga, dia cari ke tidak isteri dia? Insya-Allah dia akan cari isterinya. Tetapi kalau isteri yang derhaka, tatkala dia masuk syurga, dia tidak akan cari isterinya yang derhaka itu, kerana selama di dunia, dia menyakiti suaminya. Maka kalau ingin dibawa oleh suaminya ke syurga, seorang wanita mesti mempersiapkan diri sebagai isteri solehah sebelum bernikah. Ketika sudah bernikah dan tatkala suaminya meninggal dunia, dengan tidak menikah lagi, kalau si isteri menikah lagi, dicari tak oleh suaminya? Tidak! Kerana wanita itu bersama suaminya yang terakhir. Siapa suaminya yang terakhir insya-Allah akan bersama dia.

Berkaitan sebelum bernikah, ini sangat penting sebenarnya, tatkala seorang wanita ingin dibawa suaminya ke syurga, maka dia harus memilih, ciri-ciri suami yang boleh membawanya ke syurga! Ramai juga wanita-wanita yang dizalimi oleh suaminya, jangan saling menyalahkan kerana memang kesalahan sendiri, dia yang memilih suaminya itu. 

Nabi S.A.W menyeru semua ibu bapa dan para wali bagi seorang wanita, menitik beratkan soal agama dan akhlak dalam memilih calon suami untuk puteri-puterinya. Seperti dalam sabda Baginda yang dikhabarkan oleh Abu Hurairah:

“Apabila seseorang yang kalian redhai agama dan akhlaknya datang kepada kalian untuk meminang wanita kalian, maka hendaknya kalian menikahkan orang tersebut dengan wanita kalian. Bila kalian tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerusakkan yang besar.”
(HR at Tirmizi no 1084, dihasankan Al Imam Al Albani dalam Al Irwa’ no.1868 Ash Shahihan no.1022)

Jadi Nabi menjelaskan dengan kasih sayangnya, Nabi tahu bagaimana keadaan kehidupan berumah tangga. Maka Rasulullah S.A.W menegaskan dua kriteria ini, kalau ingin dibawa oleh suaminya ke syurga, tolong diperhatikan. Agamanya Islam alhamdulillah. Tetapi mesti dilihat Islam yang macam mana, kerana ramai yang Islam pada namanya sahaja, sedangkan solat kadang-kadang, baca Quran jarang-jarang. Ada tak calon menantu yang akan berkata jujur bila ditanya hal ini? Sangat susah, kalau takut calon menantunya tidak jujur, maka tanyalah kepada orang lain yang mengenalinya. Ada sebahagian orang tua tidak melihat mengenai agama, mengenai bacaan Qurannya, solatnya, mengenai akhlaknya tetapi melihat rupa dan keturunannya, terus setuju sedangkan dunia ini fitnah. Akhirnya anaknya jadi hamba dan tidak dihargai sebab berkahwin dengan orang kaya yang tidak peduli dengan tuntutan agamanya. 

Wahai wanita, bagaimana suamimu akan membawa kamu ke syurga sedangkan salah satu buku panduan untuk masuk syurga tidak dibaca dan difahami, apa? Al-Quran. Yang kedua akhlaknya, kata Nabi S.A.W, yang paling berat di timbangan pada Hari Kiamat ialah akhlak yang mulia, setelah iman dan amal solehnya. Jangan sampai ada orang yang iman dan amal solehnya baik, pada Hari Kiamat muflis disebabkan akhlaknya yang buruk. Dengan itu ada para wanita yang banyak qiamulailnya, banyak sedekahnya, tapi bila bercakap menyakiti orang lain, tetangganya. Rasulullah S.A.W menyatakan, “perempuan begini di neraka tempatnya”. Jadi masalah akhlak jangan diremehkan. Para wanita apabila hendak bernikah, masalah agama dan masalah akhlak mesti diambil perhatian. 

Nabi S.A.W menjelaskan bahawa hidup ini pilihan dan kalian bebas memilih pasangan hidup kalian. Tetapi kalau kalian menolak pilihan yang beragama dan berakhlak mulia, Nabi mengatakan seperti hadis HR At-Tirmizi:

“Akan terjadi fitnah di muka bumi ini, akan terjadi kekacauan di muka bumi, akan terjadi kerosakan yang besar sekali, disebabkan kalian tidak mengutamakan masalah akhlak dan agama, dan itu pilihan kalian, maka terimalah.”

Para Sahabat akhirnya mengatakan, Ya Rasulullah, bagaimana kalau orang itu menjaga akhlak, mulia, agama sempurna tapi dia hitam sedikit, atau miskin? Ingat! Allah berpesan, kalau mereka orang yang fakir, kalau mereka orang yang tidak mampu, Allah yang akan mencukupi mereka, Allah! Bukan mentuanya, bukan Rajanya, bukan Menteri, tapi Allah yang akan mencukupinya seperti dalam surah At:Talaq ayat 3:

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Di sini, Allah boleh menjadikan menantu yang kaya, dalam sehari boleh jatuh miskin, dan Allah boleh menjadikan menantu yang miskin, oleh kerana akhlaknya yang mulia, dan agamanya baik, Allah berikan kecukupan untuk dia. Siapa yang beri kecukupan? Allah Rabbul ‘alamin.

Dan Sahabat bertanya lagi “Wahai Rasulullah S.A.W, apakah kami tetap menerimanya walaupun pada diri orang tersebut ada sesuatu yang tidak menyenangkan kami?” Nabi menjawab pertanyaan ini dengan kembali mengulang hadis di atas sampai tiga kali.

Dan ada juga anak-anak perempuan sekarang sudah banyak terjebak dengan MedSos, dia memilih dengan mengikut segala yang mereka lihat di media massa dan melihat pilihan kawan-kawannya, yang bergaya, yang berharta, yang ada rupa dan seumpamanya. Jadi ajarkan sebelum terlambat dan didiklah anak-anak seawal usianya lagi mengenai indahnya hidup beragama. Apabila anak-anak sudah menjejak remaja, ajarkan atau suruh mereka belajar mengenai pengurusan rumah tangga Islam. Apakah ciri-ciri suami dan isteri yang baik, apa hak suami dan isteri, apa cabaran-cabarannya, apa kelemahan dan kekuatannya. Setiap solusi mesti kembali kepada hukum agama, kalau mahu dibawa suami ke syurga.

Para ibu-ibu harus duduk bersama anak-anak dan ajarkan mereka erti sabar, sebab wanita selalunya berfikir bahawa pernikahan itu semuanya manis, sedangkan pernikahan itu bersama tanggungjawab, ada perselisihan dan macam-macam ujian. Ingat! Kuncinya apa? Sabar! Ceritakan pengalaman kita pada anak-anak, ibu juga dulu ada perselisihan, tapi ibu selalu mengalah. Ketika suami marah, jangan menjawab atau melawan balik, beri masa dan ruang, apabila sudah tenang , satu ketika mesti suami ucap terima kasih dan mungkin dia berubah menjadi lebih baik sebab kesabaranmu, sebab suami atau isteri tidak sempurna tetapi sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. 

Di dalam Islam, isteri yang baik, isteri yang mulia, dan saling mengingatkan, tiada yang sempurna, suami itu banyak kekurangan, dan isteri juga memiliki kekurangan. Tetapi tatkala melihat kekurangan pada pasangan, jangan disebarkan keluar rumah, cukup suami isteri sahaja yang tahu.

Kalau mahu mencari solusi datang kepada orang yang alim. Ingatlah para wanita! Kalau ada masalah dengan suaminya, jangan curahkan kepada ibu sendiri, beritahu kepada mentua, kenapa? Kerana kalau diberitahu ibu sendiri, ibu sangat sayang dengan anaknya. Akhirnya ibu akan kata, sudahlah, kalau perangai gitu tidak mahu berubah dan dinasihati, minta cerai sahaja. Tapi kalau dengan mentuanya, Insya-Allah dia akan beritahu anaknya yang baik-baik sahaja, kerana suamimu itu anaknya sendiri.

Jadi kuncinya jaga hubungan baik dengan mentua, walaupun mentua cerewet, tetap menghormatinya, sebab dia adalah ibu suamimu, walaupun mentua sentiasa berburuk sangka denganmu. Tetap jaga hubungan baik dengannya, lama kelamaan akhirnya mentua itu akan jadi baik, berlembut hati dan menyayangi menantunya.

Tetapi kalau sentiasa protes dengan mentua, rosak jadinya hubungan, jadi kena bertindak dengan bijaksana dan hikmah. Jangan ceritakan keburukan mentua kepada suami, kenapa? Sebab seorang anak pasti akan membela ibunya sendiri. Tetap bersabarlah, insya-Allah, suburkan terus hubungan dengan mentua dengan amal kebajikan, dengan kelembutan, dengan berdoa, lama-lama mentua akan jadi baik kerana kunci syurga suami pada ibu dan ayahnya, dan kunci syurga seorang isteri adalah suaminya. Tetapi seandainya mendapat mentua yang sangat baik, syukur alhamdulillah.

Apabila cinta di dalam rumah tangga dibina atas dasar takwa, maka sampai hari kiamat tidak akan putus cinta itu. Allah mengatakan:

“Orang-orang yang akrab saling mengasihi, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
(Az Zuhruf: 67)

Kalau suami mencintai isterinya kerana takwa, dan isteri mencintai suami kerana takwa, mereka akan saling mengajak kepada iman, amal soleh, menghiasi kehidupan dengan beraklak mulia dan berjihad di jalan Allah. Mereka akan saling membawa pasangannya dan keluarganya ke syurga.

Wallahu‘aklam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 23/11/2020