Selalu tuduh Rusia, tapi akhirnya AS tarik diri

Perjanjian Langit Terbuka

WASHINGTON, Amerika SyarikatAmerika Syarikat (AS) secara rasmi menarik diri daripada Perjanjian Langit Terbuka, kata Jabatan Negara pada Ahad, enam bulan selepas pengumuman Presiden Donald Trump berhubung keputusan itu, lapor agensi Anadolu.

“Pada 22 Mei 2020, AS telah menggunakan haknya sesuai dengan perenggan 2 Artikel XV Perjanjian Langit Terbuka dengan mengemukakan notis kepada peserta dan negara anggota mengenai keputusannya untuk menarik diri daripada perjanjian itu, berkuat kuasa enam bulan dari tarikh pemberitahuan,” kata Timbalan Jurucakap Cale Brown dalam satu kenyataan.

Advertisement

Perjanjian itu membenarkan negara anggota saling melintasi ruang udara masing-masing untuk tujuan pemantauan ketenteraan sebagai langkah meningkatkan keyakinan sama ada negara terbabit sedang melakukan persiapan perang.

Tiga puluh empat negara turut serta dalam perjanjian tersebut, termasuk Rusia, Turki, negara-negara Eropah dan Kanada.

AS berulang kali mendakwa Rusia melanggar perjanjian itu sejak 2017, dengan mengatakan keputusan Moscow mengehadkan jarak penerbangan hingga 311 batu (500 kilometer) di ruang udara Rusia yang terletak di antara Lithuania dan Poland, melarang penerbangan berhampiran sempadan Georgia-Rusia, dan membatalkan kebenaran terbang sebelum ini untuk latihan ketenteraan pada 2019.

Trump mengumumkan keputusan itu pada Mei, dengan mengatakan: “Rusia tidak mematuhi perjanjian, selagi mereka tidak mematuhinya, kami akan tarik diri.”

Sementara itu, Jerman menyatakan “amat kesal” dengan tindakan AS menarik diri daripada Perjanjian Langit Terbuka, satu kesepakatan utama mengenai kawalan senjata antarabangsa, dan Berlin tetap komited terhadap perjanjian itu, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami sangat kesal dengan langkah AS itu dan sekarang ia telahpun melakukannya. Pendirian kami terhadap perjanjian itu tidak berubah: kami melihat ia penting dalam kawalan pembangunan senjata,” kata Menteri Luar Heiko Maas dalam satu kenyataan pada Ahad.

AS secara rasmi keluar daripada perjanjian itu pada Ahad selepas berakhirnya tempoh enam bulan terhadap notis pemberitahuan yang diserahkan negara itu pada Mei.

Perjanjian itu, yang berkuat kuasa pada 2002, membenarkan 34 negara anggota melakukan penerbangan pemantauan tanpa senjata, ke seluruh wilayah yang lain untuk mengumpulkan data mengenai kekuatan dan aktiviti ketenteraan.

Massa berkata Jerman sedia memberi kerjasama terhadap usaha merombak kesepakatan  itu bagi memperkasakan peranannya untuk meningkatkan kepercayaan dalam kalangan anggota. – BERNAMA