Keganasan rumah tangga perlu agresif ditangani

- Advertisement -

SAKIT hati bercampur sedih melihat data dan mendengar laporan kes-kes jenayah seksual, penderaan, dan keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak dan wanita di Malaysia.

Pembentangan dibuat oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM sewaktu saya melawat ke Child Interview Centre (CIC).

Kes keganasan rumah tangga adalah antara keutamaan YB Menteri dan saya sejak mula lagi kami berada di kementerian bagi memastikan ianya dihentikan segera.

- Advertisement -

Sepanjang pertemuan tersebut, saya telah menyatakan komitmen penuh kementerian bagi meningkatkan lagi kerjasama strategik dengan PDRM bagi menangani kes KRT.

Antara tindakan segera yang akan dilakukan ialah advokasi berterusan dan agresif dalam mendidik masyarakat, ibu bapa dan keluarga berkaitan peranan mereka terhadap isu KRT.

Saya telah minta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) agar menggandakan lagi aktiviti kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ dengan lebih agresif dan radikal.

Saya juga telah minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bahagian Kanak-kanak meningkatkan lagi usaha khususnya melibatkan Kaunselor dan Pegawai Pelindung.

Terharu dan bangga saya dengan komitmen Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11) ACP Siti Kamsiah Hassan.

Banyak jasa beliau dan pasukan PDRM dalam usaha memberkas pelaku jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak di Malaysia walaupun menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran.

Beliau amat berterima kasih dengan kesungguhan kementerian dalam menangani isu jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak dan saya beri jaminan akan bagi kerjasama penuh.

Saya menyeru kepada semua rakyat agar bersama-sama Kerajaan dan PDRM dalam menangani kes-kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

Kalau tuan atau puan ada maklumat berkaitan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, hubungi PDRM 999 atau Talian Kasih 15999  atau WhatsApp http://wasap.my/60192615999 untuk tindakan segera.

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 23/11/2020

- Advertisement -