Kaum India tidak pernah disisih di Kedah

ALOR SETAR: Walaupun tiada wakil rakyat daripada kalangan kaum India mewakili Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah, namun hak dan kebajikan kaum itu tetap dipertahan.

Malah, kerajaan negeri melantik anggota Exco yang menjaga hal ehwal masyarakat India di Kedah.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan dalam Bajet 2021 bagi membela semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Advertisement

“Jadi agak keterlaluan dakwaan mengatakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengamalkan cauvinis dengan menyinsihkan kaum India.

“Malah Menteri Besar sedia berunding dengan semua pihak tanpa mengira bangsa termasuk mana-mana polisi membabitkan kaum minoriti di Kedah,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Ketua Biro Aduan Pemuda MIC Kebangsaan, Dato’ S. Sathitaran dilapor menyifatkan kepimpinan Muhammad Sanusi tidak peka serta prihatin kepada kaum India di Kedah.

Sementara itu Pegawai Khas Menteri Besar, K Kumaresan berkata, dakwaan MIC itu tersasar berikutan kaum minoriti di Kedah di bawah pentadbiran kerajaan PN tetap dipelihara dan dijaga.

“Menteri Besar seorang yang senang didekati berjiwa Rakyat. Beliau prihatin atas kesusahan rakyat tidak kira latar belakang kaum dan bangsa,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/11/2020