PAYA BESAR: Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching telah memganjurkan Gotong-Royong Perdana dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan di pekarangan dataran Masjid Lama Permatang Badak, di sini semalam.
Ia bertujuan membersihkan parit utama Kampung Permatang Badak sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh berikutan kawasan tersebut dikenalpasti sering dinaiki air apabila hujan lebat berterusan melebihi dua jam.
Turut hadir sama menyemarakkan semangat kerja dan mengeratkan silaturahim sesama penduduk ialah ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya serta Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Permatang Badak.
Aktiviti ini juga dimudahkan dengan penglibatan JKR Daerah Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan, SWCorp, Alam Flora, Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang Jawatankuasa Masjid Lama Permatang Badak dan Surau Ar Rahman serta JKKK.
Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah membersihkan parit dan pemotongan pokok yang dibantu dengan penggunaan kekuatan jentera pengorek, lori pengangkut, mesin pengisar kayu serta mesin pemotong kayu.
“Kita harap melalui aktiviti gotong-royong ini dapat mengurangkan sedikit risiko banjir sekiranya hujan lebat berterusan melanda kawasan Permatang Badak dan kampung sekitar.
“Masalah saliran air tersumbat, terutamanya di laluan parit utama biasanya disebabkan sikap kita juga yang membuang sampah merata-rata hingga mengganggu sistem pengairan atau saliran.
“Saya harap perlu ada kesedaran dan kepekaan terhadap perkara ini dalam kalangan kita semua,” ujar Ustaz Tarmizi mengulas lanjut berkenaan program ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa gotong-royong ni adalah budaya masyarakat sejak turun temurun dan aktiviti sebegini dapat mengeratkan silaturrahim di mana sewajarnya dipergiatkan lagi dengan penglibatan semua penduduk.
“Kerana kampung kita, maka perlulah kita yang menjaganya bersama-sama,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 23/11/2020