Arak: MIC ingatkan ahli politik tidak bantah melulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: MIC sejak dahulu lagi memperjuangkan larangan penjualan minuman beralkohol dan samsu oleh kedai runcit di Kuala Lumpur, malah bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu beberapa kali menyerah memorandum berkenaan isu itu.

Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, D R Pala Kumaran berkata, langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diumumkan baru-baru ini itu sememangnya telah lama diharapkan oleh pihak parti tersebut.

Beliau sendiri mengakui bahawa behawa minuman beralkohol dan juga samsu menyebabkan bahana bukan sahaja ke atas kesihatan, malah menyebabkan ramai peminumnya terpesong dan terjebak dengan isu-isu sosial.

- Advertisement -

Menurutnya, menerusi peranan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk S Rajah selaku Ahli Lembaga Penasihat dan Lembaga Eksais DBKL peraturan itu akhirnya dapat dilaksanakan.

Terangnya, pengenalan garis panduan tersebut adalah bukti komitmen MIC dalam isu ini telah membuahkan hasil dari ganding bahu bersama Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menjayakan usaha tersebut di Kuala Lumpur.

Katanya, selama ini minuman beralkohol dan samsu boleh didapati dengan begitu mudah di kedai runcit di seluruh bandaraya itu, namun DBKL akhirnya mengeluarkan garis panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang akan dikuatkuasakan.

“Bagi beberapa wakil rakyat dan ahli politik yang menentang atau mempersoalkan tindakan pengenalan peraturan baharu ini, janganlah lupa bahawa ianya adalah untuk kebaikan umum sahaja dan bukannya bertujuan politik semata-mata.

“Dalami perenggan-perenggan dalam peraturan baharu tersebut secara teliti sebelum bersuara. Intipatinya, bukannya penjualan LMK diharamkan sepenuhnya tetapi ianya hanya dihadkan kepada premis-premis tertentu sahaja.

“Malah, penjualan minuman beralkohol tertentu seperti bir dibenarkan di kedai runcit atau serbaneka selagi peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/11/2020

- Advertisement -