Jambatan kayu legakan penduduk hadapi banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masalah banjir kilat yang dialami sejak lebih 20 tahun oleh beberapa keluarga yang tinggal di kawasan paya bakau di Kampung Sabak di sini selesai, dengan pembinaan jambatan kayu.

- Advertisement -

Salah seorang penghuni rumah kawasan itu, Mariam Mat Deris, 56, berkata sebelum ini, sekiranya hujan berlarutan sehari atau lebih, setiap pagi fenomena air pasang sedalam 0.2 meter akan menjadikan rumahnya dan beberapa jirannya seolah-olah ‘pulau’ digenangi air, namun biasanya ia surut dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Beliau berkata setiap kali apabila tiba musim tengkujuh, persekitaran rumahnya menjadi semakin teruk apabila air naik mencecah sehingga 0.8 meter membawa lumpur dalam tempoh sehingga berhari-hari lamanya keadaan pulih.

“Sekiranya hujan berlaku bukan musim tengkujuh pula, penduduk di beberapa rumah yang terlibat bimbang berikutan bahagian dapur dinaiki air pasang dan rumah ini paling ketara teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Katanya keadaan kini telah berubah, menjadi bertambah baik dengan pembinaan jambatan kayu kecil sepanjang kira-kira 10 meter, menggunakan batang pokok kelapa, kayu dan papan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Cempaka Merah Asnaf, yang diketuai Che Norhayati Mohamad.
 
Mariam, ibu tunggal enam anak yang kematian suami 13 tahun lepas ketika ditemui berkata, pembinaan jambatan kayu yang menghubungkan jalan hadapan rumah ke tanah yang lebih tinggi membolehkan mereka tidak lagi perlu mengharungi lumpur.

Beliau berkata mereka juga kini boleh menarik nafas lega kerana tidak lagi terpaksa mengharungi air berbau busuk berikutan kedudukan rumah yang terletak di muara Pantai Sabak iaitu antara air paya dan air laut bercampur yang juga boleh menyebabkan penyakit kulit.

Sementara itu, Che Norhayati berkata pihaknya bergotong-royong membina jambatan daripada kayu dengan 30 tenaga ahli persatuan dalam masa sehari untuk siap.

“Biarpun jambatan ini bukan berbentuk kekal, dan mungkin tidak tahan lama, namun sekurang-kurangnya usaha ini sedikit sebanyak mengurangkan sedikit bebanan yang terpaksa ditanggung sebaik sahaja tiba musim tengkujuh,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -