Ziarah Muslimat selami ujian hidup balu amilin

- Advertisement -

BENTONG: Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah mengadakan ziarah ke rumah keluarga amilin PAS di Dar al-Abrar dan Kampung Baru, di sini petang semalam.

- Advertisement -

Ziarah itu bertujuan menzahirkan rasa simpati dan takziah serta menyelami denyut rasa keluarga dua amilin PAS yang telah kembali ke rahmatullah dijemput Allah S.W.T meninggalkan balu dan anak-anak.

Turut terlibat sama dalam rombongan ziarah itu adalah Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Noor dan Ketua Muslimat PAS Kawasan Bentong, Roslin Jidin bersama Ahli-ahli Jawatankuasanya.

“Hari ini saya menziarahi dua balu iaitu Ustazah Noraidah Md Esa di Tahfiz Dar Al- Abrar. Saya melihat keadaan beliau dan ujian yang menimpanya. Bukannya suami sahaja yang dijemput Allah dalam keadaan anak-anak masih kecil, tetapi dirinya sendiri diuji dengan penyakit dan anak yang OKU.

“Kita terasa hiba apabila melihat ujian-ujian yang menimpanya dan saya melihat ketabahan sebagai seorang muslimat menghadapi ujian yang Allah berikan. Memang ujian yang kita hadapi berbeza-beza,” ujar Ustazah Salamiah.

Turut diziarahi keluarga amilin aktif PAS Bentong, Abdul Muzir Samsudin yang meninggal dunia awal minggu ini dalam kemalangan jalan raya, menemui balu Allahyarham Tun Khadijah Md Sharif dan anak-anaknya.

“Apabila mendengar kronologi atau cerita kematian suaminya yang tidak sempat menghembuskan nafas di sisi isteri, jadi kita sangat terharu dan hiba. Malah beliau juga (isteri arwah) sangat terasa hiba kerana beliau langsung tidak sempat berada di sisi suaminya kerana dijemput ketika kemalangan di tempat kejadian.

“Jadi, kita lihat bahawa bagaimana ujian-ujian Allah kepada muslimat dengan kehilangan tempat pergantungan iaitu suami. Dalam masa yang sama juga menghadapi cabaran untuk membesar dan mendidik anak-anak.

“Anak-anak beliau ini agak remaja juga, sudah tentu pendidikan seorang ibu itu tidak sama dengan pendidikan sebagai seorang ayah. Teruslah istiqamah dijalan perjuangan ini dan sambunglah perjuangan ayah yang memang begitu kental berada dalam jalan perjuangan ini dengan susah payah, dengan kesungguhan.

“Maka untuk memberikan kegembiraan kepada arwah juga teruslah berada di jalan berjemaah ini. Bersamalah dengan jemaah walau dalam apa pun keadaan. Berada dalam jemaah, dengan berpegang kepada Islam yang sebenar in sha Allah kita akan selamat dunia dan akhirat,” nasihat Ustazah Salamiah.

Sempena lawatan itu juga pihak rombongan menghulurkan sedikit sumbangan berupa wang dan sedikit barangan dapur dan terdahulu, Muslimat PAS Bentong juga telah memberi sumbangan dalam bentuk wang kepada keluarga arwah. – HARAKAHDAILY 21/11/2020

- Advertisement -