TUDM terbangkan tiga bayi hidap masalah jantung

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) dan sebuah hospital swasta di sini semalam.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan ketiga-tiga bayi berkenaan masing-masing berusia 20 hari, 19 hari dan dua bulan sebelum ini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Bayi perempuan berusia 20 hari Eliora Mia Nawan yang mengalami masalah jantung Transposition of Great Arteries akan dirawat di Hospital Gleneagles Ampang.

Advertisement

Dua bayi lagi, Marry Anne Methew Mavrik berusia 19 hari yang menghadapi masalah jantung Congenital Heart Block dan Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad, dua bulan, menghadapi masalah jantung Congenital Heart Disease akan menerima rawatan di IJN.

Menurut TUDM, ketiga-tiga bayi berkenaan ditemani ibu masing-masing diterbangkan menggunakan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

“Pesawat diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin dan pembantu juruterbang Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi serta dibantu empat anak kapal.

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 7:07 malam tadi dan turut mengiringi adalah pegawai dan petugas perubatan dari HUS,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA