Peruntukan RM1.5 juta bantu nelayan terjejas bencana

- Advertisement -

TUMPAT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan RM1.5 juta bagi bantuan bencana dan kebajikan nelayan yang terlibat dengan bencana di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata peruntukan itu disalurkan oleh kerajaan bagi bantuan segera, meringankan bebanan para nelayan yang terlibat dengan musibah dan bencana.

“Setakat hari ini (21 November) kami telah membelanjakan lebih RM800,000 bagi memberikan sumbangan kepada nelayan yang ditimpa bencana di seluruh negara.

- Advertisement -

“Di Kelantan sahaja, kami telah mengeluarkan hampir RM100,000 untuk disampaikan kepada 28 nelayan terlibat dengan bencana seperti rumah terbakar dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Nelayan di Bawah Program Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

Sumbangan itu diberikan kepada seorang nelayan, Nawawi Che Soh yang kediamannya musnah dalam kebakaran pada 25 Oktober lalu.
 
Sementara itu, Che Abdullah berkata semua agensi dan jabatan di bawah kementerian itu diminta bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh bagi menghulurkan bantuan kepada masyarakat.

Mengenai masalah yang dihadapi 20 penternak ikan di Laguna Sri Tujoh di sini yang kerugian ratusan ribu ringgit, beliau berkata jabatan berkaitan telah mengambil maklumat berhubung perkara itu.

“Agensi kami telah turun padang untuk mengambil maklumat..kami akan bantu keperluan yang perlu dibantu kepada penternak terlibat,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 20 penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh berdepan dengan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selepas banyak ikan mati akibat kualiti air kotor. 

Kejadian itu disebabkan pelepasan air ketika proses pembersihan sungai menyebabkan keladak dan sisa tumbuhan dialirkan masuk ke kawasan ternakan. – BERNAMA

- Advertisement -