KPWKM sedia pinjaman modal untuk usahawan wanita

- Advertisement -

REMBAU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengenal pasti usahawan wanita khususnya dalam kalangan golongan sasaran untuk diserapkan dalam program terbaharu kementerian itu pada awal tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata mereka akan diberi latihan dan kursus selain ruang dan pinjaman modal bagi mengembangkan perniagaan mereka pada masa akan datang.

“Kita akan sediakan peserta, di bawah kementerian ramai kaum wanita daripada golongan kurang berkemampuan B40 dan memerlukan, jadi program akan dapat kukuhkan ekonomi dalam kalangan mereka.

- Advertisement -

“Kita galakkan mereka terlibat dalam bidang perniagaan, khususnya dalam talian, selain memberi peluang mendapatkan perkhidmatan untuk memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bersempena program Kembara Prihatin Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa kementerian, antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, menggunakan peruntukan di bawah Belanjawan 2021.
 
Pada 12 November lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata pihaknya akan membantu golongan wanita dan ibu tunggal yang terjejas oleh pandemik COVID-19 menerusi satu program yang akan dilancarkan Disember ini.

Mengenai program Kembara Prihatin Negara bertemakan ‘Tautan Sepakat Membantu Rakyat’ itu, Siti Zailah berkata sebanyak 31 program telah diadakan membabitkan hampir 800 peserta di seluruh negara setakat ini.

Program yang disasarkan memanfaatkan sejuta peserta itu merupakan program pendampingan sosial secara langsung melalui perkhidmatan kerajaan kepada rakyat yang akan bergerak setiap minggu, meliputi 108 daerah di seluruh negara, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti. – BERNAMA

- Advertisement -