Rampasan terbesar dadah P.Pinang libatkan tiga beranak

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket mengedar dadah selepas menahan enam individu termasuk seorang warga emas bersama anak serta menantunya, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.14 juta dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Negeri Datuk Sahabudin Abd Manan berkata kesemua mereka yang berumur antara 28 dan 59 tahun, yang juga termasuk seorang wanita warga Thailand, ditahan dalam serbuan antara pukul 4:30 pagi dan 9:30 pagi.

Beliau berkata ia bermula dengan penahanan dua lelaki, termasuk ketua sindiket itu yang berumur 35 tahun di dalam sebuah kereta di kawasan Sungai Nibong bersama dua kilogram syabu, dan siasatan mendapati mereka dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pembeli di sini.

- Advertisement -

Menurutnya dalam serbuan berikutnya di sebuah rumah di Sungai Nibong, polis menahan seorang lelaki selepas menemui dadah di dalam rumah berkenaan; dan seterusnya selepas memeriksa sebuah lagi rumah di Bayan Lepas, polis menahan seorang lagi lelaki yang disyaki terbabit.

“Hasil soal siasat telah membawa polis kepada sebuah rumah di Balik Pulau yang dijadikan tempat menyimpan stok dadah, yang turut didiami isteri serta ibu kepada ketua sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
 
Katanya ekoran serbuan itu polis merampas syabu seberat 133.3 kilogram (kg), ketamin (20.7 kg), serta dadah jenis heroin base (11.1 kg) yang kesemuanya bernilai RM8.14 juta, dan rampasan itu merupakan kejayaan terbesar Kontinjen Polis Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Sahabudin berkata siasatan polis mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada Thailand, dan bahan terlarang itu dipercayai dibawa masuk melalui laluan darat menerusi Sintok, Kedah, sebelum dihantar ke Pulau Pinang juga menerusi jalan darat.

Beliau berkata isteri kepada ketua sindiket itu merupakan seorang warga Thailand berusia 28 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah di negara berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

“Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki serta seorang anak perempuan yang masih kecil, dan mereka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan nenek mereka yang berusia 59 tahun turut ditahan dalam serbuan itu. Wanita berkenaan dipercayai ahli sindiket dan mempunyai pengetahuan berhubung kegiatan anak lelakinya,” katanya.

“Ketua sindiket itu tidak bekerja manakala tiga lagi yang positif dadah merupakan nelayan serta peniaga buah-buahan. Dua lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Kesemua enam individu itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,”tambahnya. – BERNAMA

- Advertisement -