Peraturan baharu DBKL selari prinsip Sadd Al-Zara’ie

- Advertisement -

MASJID TANAH : Garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mula berkuat kuasa pada 15 November lalu adalah selari dengan prinsip Sadd Al-Zara’ie, kata Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Azman Yusof.

Menurut beliau, prinsip Sadd al-Zarā’ie ialah menutup, menghalang, menyekat, memotong jalan-jalan atau punca-punca serta perbuatan yang boleh membawa kepada kejahatan dan kerosakan.

“Walaupun pada asalnya jalan-jalan atau punca-punca perbuatan itu diharuskan, tetapi apabila didapati ia membawa kepada kejahatan dan kerosakan, maka ia diharamkan dan ditegah.

“Meskipun ulama’ khilaf mengenainya sebagai salah satu kaedah menetapkan hukum, namun pada pandangan sebahagian ulama, ia merupakan pendekatan yang dianggap perlu bagi memastikan kesucian akidah umat Islam dapat dipelihara,” ujar beliau.

- Advertisement -

Menurut Dr Azman lagi, peraturan baharu jualan minuman keras DBKL ini perlu dilihat secara positif oleh seluruh rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya kerana arak bagi umat Islam merupakan najis dan dosa besar yang wajib ditinggalkan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud: ‘Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).’

“Pengharaman arak dalam kalangan umat Islam bukan setakat minum sahaja tetapi juga hal-hal yang bersangkutan dengannya sebagaimana ancaman Rasulullah SAW terhadap 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT, iaitu orang yang memerah, meminta diperahkan arak, minum, membawa dan menghantar, menuangkannya, menjual, membeli, makan hasil jualannya serta meminta dibelikan minuman itu.

“Malangnya, Malaysia yang mempunyai 56.4 peratus rakyat berbangsa Melayu dan 61.3 peratus beragama Islam telah disenaraikan oleh World Health Organisation (WHO) dalam laporannya pada 2011 sebagai negara pengguna alkohol yang ke-10 terbesar di dunia walaupun saiz dan populasi penduduknya kecil berbanding negara-negara lain.

“Manakala, statistik oleh sebuah badan antarabangsa juga mendapati rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada AS$500 juta (RM1.5 bilion) setiap tahun untuk alkohol dengan pengambilan per kapita sebanyak tujuh liter, justeru, garis panduan baharu ini dilihat tepat pada masanya,” jelas Dr Azman.

Tambah beliau lagi tidak timbul isu menafikan hak orang bukan Islam meminumnya kerana ia adalah hak yang diiktiraf dalam sebuah negara Islam sekiranya tiada larangan dalam agama mereka.

Namun, kata Dr Azman lagi, keizinan tersebut hanyalah terhad dalam kehidupan peribadi (private sphere) semata-mata, tetapi bukan dalam kehidupan umum iaitu di kawasan umat Islam ada bersama mereka, misalnya seperti di kedai runcit, kedai serbaneka dan lainnya, apatah lagi, dampak negatifnya sangat besar terhadap kesihatan, keluarga, masyarakat dan negara.

“Data-data berikut dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan:

“Pertama, laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

“Kedua, satistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6 peratus mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.

“Ketiga, berbeza dengan ketagihan dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.

“Keempat, antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol adalah penyakit kardiovaskular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.

“Kelima, 48 peratus daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alkohol.

“Keenam, laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3 peratus kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5 peratus kes pula melibatkan penderaan kanak-kanak.

“Ketujuh, insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.

“Kelapan, mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan daripada perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

“Dan kesembilan, menurut satu statistik di United Kingdom, alkohol telah menyebabkan 45 hingga 46 peratus kejadian jenayah, melibatkan 39 peratus keganasan dalam rumah tangga,” ujar beliau lagi.

Senario semasa di Malaysia, tambah Dr Azman lagi, membenarkan kenyataan ini, di mana berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk dan kesalahan jenayah yang berpunca daripada pengambilan alkohol kian meningkat saban tahun.

“Oleh itu, sudah tiba masanya undang-undang yang berkaitan dengan alkohol atau minuman keras dipinda kepada hukuman yang lebih berat dan peraturan yang lebih ketat.

“Sehubungan itu, diharapkan tiada mana-mana pihak yang cuba untuk mempertikaikan tindakan DBKL memperkenalkan peraturan baru jualan minuman keras ini. Sebaliknya kredit harus diberikan kepada DBKL kerana mengambil tindakan yang selari dengan prinsip Sadd al-Zara’ie dan wajar ianya dicontohi oleh kerajaan tempatan di negeri-negeri yang lain,” kata beliau ketika ditemuramah wartawan Harakahdaily.

Untuk rekod, peraturan baharu yang diperkenalkan oleh DBKL ini bertujuan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras dengan lebih terkawal, selain ia juga bertujuan untuk menghindarkan umat Islam dan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah daripada membelinya di premis-premis tertentu dengan mudah di samping memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota.

Keputusan ini diambil setelah berunding dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan, dan NGO. – HARAKAHDAILY 20/11/2020

- Advertisement -