Pahang tak pernah membalak melebihi catuan

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang tidak pernah melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara, sekali gus menunjukkan pengurusan hutan yang baik. 

Advertisement

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata mengikut Rancangan Malaysia ke-11, CTT yang ditetapkan ialah 13,687 hektar, namun pada tahun 2019, luas kawasan yang dibalak di Pahang cuma 10,313 hektar, membolehkan hasil kayu-kayan negeri ini tidak menghadapi masalah bagi pengeksportan.

“Kestabilan ini boleh dicapai disebabkan kerajaan negeri mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan yang membolehkan kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin kawasan hutan tetap terpelihara.  

“Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dianggarkan seluas 1.55 juta hektar dengan 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya seluas 551,528 hektar ialah hutan yang tidak boleh dibalak atas sebab tertentu termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif.

“Kawasan yang boleh dibalak pun akan diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia yang mengeluarkan sijil ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification (MC&I),” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
 
Wan Rosdy memaklumkan Pahang kekal menerima persijilan MC&I sejak tahun 2002 dan terbaru, sijil itu dilanjutkan untuk tempoh 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024 yang disifatkan beliau sebagai pencapaian yang membanggakan dan membuktikan amalan pengurusan baik kerajaan negeri dalam aspek perhutanan. 

Menyentuh mengenai royalti minyak sebanyak RM100 juta yang telah dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan kepada Pahang sebelum ini, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri tidak akan berputus asa untuk terus berbincang bagi mendapatkan bayaran berkenaan.

“Saya telah membuat kerja-kerja susulan antaranya berjumpa dan menulis surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin…sama-samalah kita harapkan peroleh yang terbaik daripada usaha ini,” jelasnya.

Wan Rosdy juga berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan syarikat pemaju Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjung Agas di Pekan, iaitu TGA Solutions Sdn Bhd, sedang memuktamadkan terma dan syarat dengan beberapa pelabur asing bagi membangunkan semula projek itu yang masih dinantikan penduduk walaupun sudah menjangkau 10 tahun. 

Pada ucapannya, Wan Rosdy juga mengumumkan pemberian sumbangan wang tunai RM50 kepada 15,054 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk digunakan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu, yang keseluruhannya melibatkan peruntukan kawangan bernilai RM752,700. – BERNAMA