Biar kita kenal si pengadu domba sebenar

- Advertisement -

BERHATI-hati jangan mudah terpedaya dan melompat dengan fitnah dan putar belit pihak tertentu yang sengaja mahu memecah belah dan mengadu domba pihak kerajaan.

Tanpa menghiraukan etika beberapa portal berita terang-terangan memutar belit ucapan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Rakyat pagi semalam.

Satu portal asalnya membawa tajuk ‘Ahli Parlimen tolak belanjawan termasuk Najib adalah pengkhianat – Shahidan’ dan kemudian mengubah tajuk ke ‘Ahli Parlimen tolak belanjawan adalah pengkhianat – Shahidan’.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun portal Malaysiakini sehingga jam 11:10 malam (19 November 2020) ketika saya membuat posting ini masih membawa berita: ‘Shahidan: Najib khianat rakyat jika tolak bajet’ (dimuatnaik jam 5:51 petang dikemaskini 6:31 petang).

Di penghujung perbahasannya pagi semalam Shahidan yang ketika itu diganggu MP Kuala Selangor (PAN) dan beberapa wakil pembangkang yang lain menyebut antara lain:

“Saya ingin mengingatkan kepada Dewan Yang Mulia ini, sesiapa sahaja yang menolak bajet ini termasuk kawan saya bekas Menteri Kesihatan tolak bajet khianat rakyat.”

Memang kalau kita dengar rakaman ucapan Shahidan, bila beliau menyebut ‘termasuk kawan saya bekas Menteri Kesihatan’ bunyinya macam ‘termasuk kawan saya Pekan’, tetapi ternyata bila kita amati dengan teliti ucapan itu dituju pada Kuala Selangor dan tidak ada kena mengena dengan Pekan. Mengapa portal-portal berita ini melaporkan ‘Pekan’? Niat jahat? Fitnah adu domba?

Apa pun biarlah terserlah dan kini kenal kita mereka yang memang punya agenda jahat dan mencuri kesempatan tanpa etika dan adab sanggup dan tergamak berbohong semata-mata untuk melariskan portal masing-masing. Jahat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/11/2020

- Advertisement -