‘Saya doakan Wan Nordin cepat sembuh’- Ahmad Amzad

- Advertisement -

SEREMBAN: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sempat menziarahi Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob di kediamannya, Sendayan, di sini.

Sebelum itu, Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menghadiri satu Mesyuarat Dua Hala dengan Kerajaan Rusia di Pejabat Kementerian MOSTI, hari ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, kata beliau mendapat tahu penderitaan yang sedang dihadapi oleh Wan Nordin melalui media sosial Facebook.

“Saya dan isteri, Dr Diana Ahmad Takri mengambil peluang ini untuk datang dan melihat sendiri keadaan (sakit) saudara Wan Nordin, yang juga Ketua Pengarang Harakah.

“Saya mendoakan supaya beliau cepat sembuh dan sihat seperti sedia kala serta boleh kembali bertugas di Harakah seperti biasa, Insya Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, ujian sakit dan kesusahan itu daripada Allah SWT bagi menguji kesabaran hamba-hambaNya.

Tambah beliau, Harakah merupakan media parti yang amat penting sudah pasti tenaga kerjanya perlu diberi perhatian sewajar.

Wan Nordin disahkan mengalami komplikasi saraf tulang belakang, ‘slip disc’ serta masalah jantung sejak setahun lalu.

Beliau juga terpaksa bertongkat sebagai sokongan untuk berdiri dan berjalan.

Walau bagaimanapun kesulitan sakit yang dihadapi ayah kepada lima orang anak ini tidak menghalang beliau untuk kekal komited menggalas tugas dan amanah sebagai Ketua Pengarang Harakah.

Terdahulu Wan Nordin mendapatkan rawatan fisioterapi di samping pernah menjalani rawatan jantung di pusat perubatan terdekat.

Namun akhir-akhir ini kesihatan beliau semakin merosot menyebabkan beliau mendapatkan rawatan pakar Kiropraktik (chiropractic) diketuai Ustaz Nasaie dari pertubuhan PrakTulang selepas diperkenalkan Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan dan Ketua Penerangannya Yusman Saidi.

Difahamkan Wan Nordin kini perlahan-lahan beransur pulih selepas menerima rawatan tersebut dan perlu menjalani rawatan susulan Kiropraktik. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -