Perak lulus RM9 juta bantu penjaja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan peruntukan lebih RM9 juta bagi meringankan beban peniaga dan penjaja kecil serta para usahawan mikro susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu berkata peruntukan khas itu adalah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa ke-4 (PRE Fasa 4).

Antara inisiatifnya adalah pengecualian sewaan gerai makan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sebulan (November 2020) yang akan memberi manfaat kepada 10,335 peniaga dan penjaja kecil di kesemua 15 PBT seluruh Perak dengan peruntukan sebanyak RM1.63 juta.

- Advertisement -

“Bagi meringankan beban para peniaga dan penjaja kecil, pentadbiran kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM4.65 juta bagi menyalurkan bantuan ‘one-off‘ RM500 kepada 9,361 peniaga dan penjaja kecil.

“Ini adalah bantuan ‘one-off‘ kedua kepada para peniaga dan penjaja kecil selepas kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai RM500 dalam PRE Fasa 2 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Faizal, kerajaan negeri juga bersetuju menambah peruntukan RM2.7 juta untuk Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP) bagi membantu lebih ramai usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, di bawah PRE Fasa 2, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu para usahawan mikro untuk terus kekal berdaya saing,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -