Pampasan RM170 juta dituntut Kedah ke Parlimen

Ahli Parlimen Sik suarakan supaya Kedah diberi peruntukan khas atas pengorbanan negeri itu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk diberikan peruntukan khas RM170 juta atas pengorbanan mengekalkan tanah sawah padi dan hutan simpan negeri itu turut dibangkitkan di Dewan Rakyat, kelmarin.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) menyatakan sokongan penuh hasrat Kerajaan Negeri Kedah itu untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen, di sini.

“(Ini) berikutan pengorbanan negeri itu menyediakan kawasan tanah sawah untuk menjamin bekalan beras negara selain pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air.

“Kerajaan Negeri Kedah memohon agar cadangan itu dipertimbangkan kerana kesanggupan kerajaan negeri tidak menukarkan tanah pertanian kepada tanah komersial yang boleh mendatangkan hasil cukai lebih tinggi.

“Permohonan sebanyak RM170 juta itu seharusnya dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya untuk mengukuhkan dan mengekalkan kawasan pertanian jelapang padi negeri Kedah.

“Juga kawasan tadahan di Hutan Simpan Ulu Muda yang membekalkan air bagi kegunaan domestik di Pulau Pinang, Perlis dan juga negeri Kedah itu sendiri,” hujahnya.

Terdahulu, beliau membahas panjang lebar keperluan kerajaan menambah keluasan jelapang padi negara dalam meningkatkan penanaman padi dan pengeluaran beras selaras kadar sara diri (SSL) beras rakyat negara ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata, pampasan khas RM170 juta yang dipohon kerajaan negeri adalah kecil berbanding pengorbanan Kedah dalam menjamin penghasilan bekalan beras negara.

Menurutnya, Kedah menyediakan kawasan tanah sawah sejak sekian lama bagi menghasilkan 40 peratus daripada bekalan beras negara, dengan lebih 130,000 hektar tanah negeri dijadikan kawasan sawah padi.

“Jika tanah sawah ini diubah status komersial, ia mampu meningkatkan kutipan cukai sehingga RM1.7 bilion. Jadi diharapkan Kerajaan Pusat pertimbangkan permohonan ini,” katanya pada 6 November lalu.
 
Sanusi juga memohon pampasan itu atas pengekalan hutan simpan bagi tujuan tadahan hujan yang menjadi sumber bekalan air bukan sahaja di negeri itu, tetapi juga Perlis dan Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -