MP Jerai sifatkan tulisan Jawi ‘dibunuh’ Panel KSSM

Persoal agenda pihak berkepentingan untuk hapus Jawi di peringkat menengah atas SPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehilangan tulisan Jawi yang ditiadakan dalam soalan peperiksaan subjek Pendidikan Islam peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disifatkan sebagai tindakan membunuh khazanah ilmu.

- Advertisement -

Ustaz Sabri Azit (PAS-Jerai) berkata, dari penataran Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), guru-guru dimaklumkan alasannya kerana para pelajar telah menguasai pengkaedahan tulisan itu di Tingkatan 1, 2 dan 3.

Kesali beliau, tindakan Panel KSSM itu adalah terburu-buru yang seolah menjadi penyambung pihak tertentu terhadap tulisan Jawi dari diolah sebagai tulisan yang berpengaruh di negara ini.

“Saya berpandangan, panel ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan tulisan Jawi (yang) sebenarnya dibuat secara halus oleh mereka! (Saya) Sebagai orang yang pernah turun di lapangan, memberi kursus kepada murid dan guru di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“(Saya berpandangan) bukan sekadar murid yang perlukan pendedahan Jawi, malah para guru juga masih terkial-kial dengan pengkaedahan tulisan Jawi. Dan boleh disimpulkan bahawa pengajaran hanya baru bermula di Tingkatan 4.

“Agenda apakah sebenarnya pihak yang berkepentingan untuk menghapuskan pengajaran dan pembelajaran Jawi di peringkat menengah atas?” persoalnya membangkitkan isu itu ketika membahas Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tegas beliau, dengan meniadakan tulisan Jawi di peringkat tersebut dan memasukkan pula teks tulisan Jawi dalam buku adalah sangat tidak memadai kerana majoriti pelajar masih ketinggalan dalam menguasai tulisan Jawi.

Menurut beliau yang juga Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ramai pelajar hilang identiti tulisan Jawi, malah tidak pernah tahu sejarah tulisan Jawi, tetapi tiba-tiba melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, tulisan Jawi ditiadakan.

“Padahal, diperingkat pengajian tinggi (IPT) umpamanya di UPM dan UPSI disediakan pula kursus tulisan Jawi asas! Terputus di tengah jalan, disambung pula di hujung jalan. Kealpaan inilah menyebabkan tulisan Jawi tiada jati diri untuk bangun.

“Dek kerana tangan-tangan cendekiawan yang gagal memahami situasi nazaknya Jawi mutakhir ini. Saya sarankan agar tulisan Jawi dihidupkan semula untuk pelajar menengah atas dengan mengekalkan dan menambah baik dalam bentuk soalan dalam SPM khususnya.

“Begitu juga saya mohon agar para guru-guru diadakan kursus perdana bagi menguasai tulisan Jawi agar kesinambungan khazanah negara ini akan terus dipelihara, dimartabatkan dan seterusnya dibudayakan oleh generasi akan datang,” gesa beliau.

Ustaz Sabri juga dalam ucapan itu meminta supaya pelajar yang terlibat dengan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dibenarkan belajar secara bersemuka di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Jelasnya, pelajar berkenaan perlu mengikuti pembelajaran normal kerana capaian internet pada hakikatnya tidak mampu memberi jawapan penyelesaian selain tekanan perasaan untuk menghadapi peperiksaan yang akan menjadi trauma kehidupan.

“Seterusnya seperti yang pernah dicadangkan agar pelajar yang terkesan dengan COVID-19 dapat diberi kemudahan dengan memudahkan bentuk soalan dan bentuk skima dalam menyelesaikan kemelut pembelajaran yang tidak teratur dan sering ditutup buka akibat penularan wabak yang masih belum ditemukan vaksinnya,” harapnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -