Lesen nelayan musim tengkujuh, isu pukat tunda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia telah meluluskan sejumlah 148 lesen pukat tunda sementara peralatan tambahan bagi tujuan menangkap udang semasa musim tengkujuh iaitu November hingga Mac ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi memaklumkan, lesen tersebut juga dikenali sebagai Lesen Peralatan Pukat Tunda Musim Tengkujuh
(PTMT).

“Yang hanya dilesenkan kepada vesel tradisional zon A khusus bagi negeri-negeri di Pantai Timur sahaja iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga Johor Timur.

“Pada masa ini, Jabatan Perikanan masih mempertimbangkan permohonan baharu Lesen Peralatan Tambahan PTMT secara tahunan kepada pemilik vesel zon A yang mematuhi syarat,” ujarnya.

Beliau menjawab soalan Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) pada sesi jawapan-jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan di Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Jelasnya, syarat ditetapkan itu mestilah muatan vesel tersebut adalah 15 gross register tonnage (GRT) ke bawah dan vesel yang terlibat memasang peralatan turtle exclusion device (TED).

Walau bagaimanapun katanya, jumlah kelulusan khas permohonan Lesen Peralatan Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) setiap tahun adalah tertakluk kepada keupayaan daya tampungan sesebuah kawasan berbanding dengan sumber perikanan sedia ada.

“Ini adalah bagi memastikan sumber perikanan dapat diuruskan secara mapan, mengurangkan kesesakan di zon tangkapan serta mengelakkan konflik di kalangan nelayan,” terang beliau.

Menjawab pertanyaan tambahan juga daripada Shaharizukirnain mengenai isu pukat tunda, Dato’ Che Abdullah menyatakan, ia merupakan peralatan menangkap ikan yang sangat destruktif, tidak selektif dan tidak mesra sumber.

Di mana kata beliau, pukat tunda mengakibatkan kemerosotan sumber perikanan terutamanya di kawasan pesisiran pantai, selain berlaku isu pencerobohan vesel pukat tunda zon B ke zon A yang tinggi.

Hal tersebut akui beliau, telah mencetuskan konflik antara nelayan tradisi dan pengusaha pukat tunda komersial di mana beberapa negara telah mengharamkan penggunaan peralatan tersebut termasuk Indonesia, Jepun dan Hong Kong.

“Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia telah mengambil tindakan sewajarnya untuk melaksanakan exit policy secara soft landing bagi pukat tunda, bermula pada tahun 2014,” maklumnya.

Inisiatif tersebut jelasnya, melibatkan sama ada pemilik vesel bertukar zon di mana ia turut membabitkan pertukaran atau pengekalan peralatan, dan hal tersebut juga memberi kesan tertentu.

Antaranya kata beliau, pengusaha akan hilang mata pencarian tanpa alternatif sumber ekonomi lain dan juga kesan kepada jumlah pendaratan ikan dalam jangka masa yang pendek seterusnya meningkatkan harga ikan di pasaran.

Sehubungan itu menurutnya, kementerian telah bersetuju agar inisiatif ini dilaksanakan secara soft landing untuk memberikan persediaan penuh kepada industri perikanan negara.

Jelas beliau, perkara itu melibatkan pelaksanaan pengurangan vesel pukat tunda secara berfasa iaitu menerusi Insentif Penstrukturan Vesel Pukat Tunda Zon B melibatkan pampasan one-off diberikan dan Skim Pembiayaan Pemodenan Vesel, selain geran peralatan. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -