Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ tanda penghargaan sumbangan

KUALA LUMPUR: Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) diadakan bagi menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini.

Dalam masa sama, ia bagi meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat, kata Menteri KPPK, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurut beliau, KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen tersebut dengan memberi tumpuan kepada peranan dimainkan industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

Advertisement

Katanya, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.

“Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform.

“Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan.

“Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat,” ujarnya dalam dalam satu Sidang Media Majlis Pra-Pelancaran Kempen Sawit Anugerah Tuhan di Parlimen, hari ini. – HARAKAHDAILY 19/11/2020