Isytihar darurat: Keprihatinan tinggi Agong terhadap rakyat

Pentingkan keselamatan awam dari penularan COVID-19, tangguh PRK P.185 Batu Sapi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man merafak sembah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang berkenan atas Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi Sabah.

- Advertisement -

“Patik sekalian menyanjungi sikap keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda dalam membuat keputusan penting demi keselamatan rakyat.

“Pengisytiharan ini adalah satu langkah proaktif untuk membendung penularan pandemik COVID-19 di Malaysia yang masih belum reda. Justeru diharap agar semua pihak mendukung penuh titah ini.

“Pilihan Raya Kecil Batu Sapi wajar dibatal dan ditangguh supaya kita semua dapat memberikan fokus sebenar terhadap kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengsiytiharkan perkara itu menerusi kenyataan dikeluarkan pihak Istana Negara pada lewat petang semalam.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

“Dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak COVID-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19,” demikian menurut kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -