Cakna rakyat, Adun potong elaun 10 peratus

KOTA BHARU: Sebanyak 10 peratus daripada elaun wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan akan dipotong bagi membantu agensi kerajaan dan rakyat terjejas akibat Covid-19.

Langkah itu bukan sahaja melibatkan wakil rakyat PAS, malah turut mendapat perhatian Umno dan Bersatu.

Advertisement

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, potongan tersebut disalurkan kepada Tabung Serambi Mekah yang dibuat bagi menzahirkan simpati ketika wabak Covid-19 masih menular ketika ini.

“Potongan gaji untuk hadapi Covid-19 daripada elaun wakil rakyat sebanyak 10 peratus sebagai tanda simpati kita kepada rakyat yang terjejas dengan penularan wabak ni.

“Ia melibatkan semua wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri, daripada PAS, Umno dan Bersatu sebanyak 10 peratus,” kata Adun Pasir Tumboh itu ketika ditemui Kompleks Kota Darulnaim di sini pagi tadi.

Langkah sama turut dilakukan Adun PAS Pahang yang setuju mengumumkan gaji mereka dipotong sebanyak 10 peratus hari ini.

Ia disalurkan kepada Akaun Amanah Bencana Pahang yang dijangka dapat membantu golongan terkesan bukan sahaja Covid-19 tetapi juga bencana lain yang berlaku. – HARAKAHDAILY 19/11/2020