Tiada perintah berkurung, bukan pentadbiran tentera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehidupan rakyat tidak terjejas, tiada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera susulan pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa di Sabah.

Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan pada kadar segera, katanya dalam perutusan khas mengenai pengisytiharan darurat, yang disiarkan oleh televisyen tempatan dan rangkaian media sosial.

- Advertisement -

“Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi,” kata Muhyiddin.

Katanya kerajaan mengambil kira lima faktor utama sebab PRK Batu Sapi perlu dielakkan.

Pertama atas faktor ancaman terhadap kesihatan awam, kedua kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas pilihan raya, ketiga pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan.

Keempat kebimbangan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi terutamanya warga emas serta kelima kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas PRK itu.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas dan SPR menetapkan penamaan calon pada 23 November manakala pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian pada 5 Disember.

Muhyiddin berkata  pengalaman Pilihan Raya Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika COVID-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak tersebut manakala SPR pula sukar mendapat petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan kemungkinan terkena jangkitan virus itu.

“Setakat 6 November, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya iaitu 17.1 peratus sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi,” katanya.

Sekiranya PRK itu diadakan, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan pandemik itu ke daerah-daerah lain di Sabah, katanya.

Terdapat 32,962 pengundi berdaftar di Parlimen Batu Sapi dengan 7,377 orang merupakan pengundi berumur 60 tahun ke atas atau 22.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi seperti ini mestilah dielakkan,” katanya.

“Kita tidak mahu berlaku lonjakan kes-kes baharu COVID-19 di Batu Sapi khususnya, dan di Sabah amnya sekiranya pandemik ini menular selepas PRK Batu Sapi diadakan.

“Ini tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para ‘frontliners’ kita, yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini,” kata Muhyiddin.

Data menunjukkan pada 12 September (Hari Penamaan Calon) PRN Sabah terdapat 808 kes kumulatif di Sabah dan angka itu meningkat kepada 1,547 kes semasa hari mengundi pada 26 September dan seterusnya meningkat secara mendadak dalam tempoh empat minggu selepas itu dengan 11,285 kes terkumpul direkodkan pada 24 Oktober. 

Perdana menteri berkata berdasarkan faktor-faktor tersebut, kabinet berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik COVID-19 berakhir.

Beliau berkata Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan dengan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata beliau telah diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini untuk menyembah maklum nasihat kabinet supaya Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen Batu Sapi.

“Bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, Seri Paduka Baginda Tuanku telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kawasan Batu Sapi dan memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 yang membolehkan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang dijadualkan 5 Disember 2020 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -