Tasik Biru pukau mata, alam semulajadi nan indah

- Advertisement -

PANORAMA indah di Tasik Biru, Bukit Ibam semestinya menjadi lokasi penting jika berkunjung ke Rompin, Pahang. Terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Muadzam Shah, Bukit Ibam semakin menjadi tumpuan pengunjung. Tasik Biru dan Bukit Sembilan merupakan antara tempat menarik di sini yang mula ‘viral’ mutakhir ini. Keunikan dan kebiruan air tasik ini cukup membuat mata terpegun, meruntun ketenangan hati bila memandangnya. Bak kata orang, ‘dari mata turun ke hati’.

- Advertisement -

Tasik Biru Bukit Ibam ini asalnya merupakan tempat aktiviti perlombongan bijih besi bermula sejak tahun 1957, oleh syarikat Rompin Mining Company (RompinCo). Secara ringkasnya, disebabkan aktiviti perlombongan dan kuari ini, telah menyebabkan wujudnya banyak lubang-lubang besar hasil dari peletupan bukit bagi mengeluarkan sumber mineral yang ada. Lubang-lubang tersebut kemudiannya menjadi kawasan takungan air yang akhirnya membentuk menjadi sebuah tasik.

Berdasarkan kajian, ekoran aktiviti perlombongan telah meningkatkan jumlah pepejal terlarut dan logam berat. Oleh itu, tidak ada hidupan akuatik yang hidup di Tasik Biru ini, namun suasana sekitar dengan kehijauan pokok dan latar belakangnya menghidupkan panorama indah di tasik ini.

Selepas puas bergambar dan menikmati keindahan di Tasik Biru, pengunjung boleh meneruskan perjalanan ke Bukit Sembilan. Bukit Sembilan terletak bersebelahan dengan Bukit Ibam. Perjalanan menuju ke puncak Bukit Sembilan tidak memerlukan masa yang lama. Ini kerana terdapat laluan konkrit sehingga ke puncak.

Setibanya di puncak, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan 360 darjah yang indah lagi mendamaikan. Ditambah dengan keadaan cuaca yang sejuk, pengunjung akan terpana menikmati keindahan alam yang dikelilingi bukit bukau dan hutan menghijau.

Pemandangan waktu petang yang redup beserta cahaya ‘sunset’ yang keluar disebalik awan menyebabkan pengunjung leka menghayati Kebesaran Ilahi. Di puncak ini juga kami dapat melihat Tasik Biru dengan jelas.

Berkunjunglah ke Tasik Biru, Bukit Ibam. Struktur dan fasiliti sekitarnya sedang dipertingkatkan oleh pihak berwajib dan juga dapat mempromosikan sebagai salah satu tempat menarik untuk pelancong hadir dan menaik taraf keselesaan pengunjung.

DALILAH MAT YATIM – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -