Perkembangan Terkini PKPB di Terengganu

- Advertisement -

SEBAIK sahaja diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Negeri Terengganu, saya telah mengambil langkah perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negeri Terengganu bersama agensi-agensi berkaitan.

Langkah pencegahan yang dilaksanakan bermula pada 9 November 2020 tentunya sangat memberi kesan kepada seluruh rakyat.

Untuk memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan.

- Advertisement -

Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad 15 November lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan COVID-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan.

Terima kasih kepada beliau yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan hal ini dengan membawa dalam mesyuarat di Putrajaya.

Hari ini, Rabu 18 November sekali lagi saya mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu dan alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal dari jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dari pejabat beliau.

Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada rakan-rakan dari pimpinan UMNO Terengganu yang bertemu dengan Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob untuk menyuarakan perkara yang sama. Ini antara contoh kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama.

Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-Allah.

‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terenganu – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -