Penjelasan isu Tabung CAS KFA berbeza

ALOR SETAR: Penjelasan berbeza berkaitan Tabung CAS Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menyebabkan suasana persidangan Dewan Undangan Negeri menjadi gamat.

Ustaz Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada) berkata, jawapan Exco sukan sekarang mengenai jumlah kutipan itu berbeza dengan penjelasan bekas Exco Sukan.

Katanya, jawaban Exco Sukan memberitahu jumlah kutipan RM10,000 melalui tabung itu namun bekas Exco Sukan pula memaklumkan jumlah kutipan sebanyak RM50,000.

Advertisement

“Saya inginkan mendapat penjelasan dari Exco Sukan kerajaan sebelum ini memandangkan jumlahnya yang dimaklumkan tidak sama seperti direkodkan berdasar jawapan kerajaan.

“Kenapa sewaktu bekas Exco mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan dia tidak maklumkan mengenai jumlah kutipan tersebut,” katanya pada persidangan Dun Kedah, semalam.

Tabung CAS KFA diwujudkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menampung kes berkaitan perpindahan pemain tengah bola sepak Kedah, Akhyar Rashid yang dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne Switzerland.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor juga berharap KFA dapat membekalkan data berkenaan kutipan tabung tersebut. – HARAKAHDAILY 18/11/2020