Pengurusan zakat Kedah jadi rujukan negara luar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengurusan zakat di Kedah telah menjadi pusat rujukan zakat kepada beberapa negara yang mengikuti program Kedah International Zakat Academy (KEIZA) anjuran Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata antara negara yang menyertai program berkenaan adalah Thailand, Nigeria, Uganda, Ghana dan Indonesia.

“Pengurusan (daripada segi) kutipan dan agihan, zakat Kedah ini antara yang terkedepan, kita negeri tak kaya …kita banyak padi yang perlu dibayar zakat yang mendatangkan banyak kutipan hasil selain zakat pendapatan,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

- Advertisement -

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri memberi perhatian sewajarnya terhadap usaha LZNK dan ia antara institusi penting yang perlu terus diperkasakan.

“LZNK pun melaksanakan pelbagai program untuk kebajikan rakyat negeri ini antaranya menyediakan bank makanan di masjid dan membaik pulih rumah (untuk golongan memerlukan),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata hasil zakat negeri setiap tahun diagihkan melalui pelbagai skim yang diwujudkan, malah agihan zakat berkenaan meningkat setiap tahun antara RM15 juta hingga RM20 juta. – BERNAMA

- Advertisement -