Muafakat Nasional berjaya rapatkan hubungan Melayu

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS percaya Muafakat Nasional (MN) adalah platform terbaik untuk membina kekuatan bersama.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS akan terus komited mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa yang sama memperkasakan MN walaupun Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat Umno perlu mengkaji semula hubungannya dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN pada Pilihan Raya Umum akan datang, ujarnya.

- Advertisement -

“Ku Li harus melihat MN telah berjaya merapatkan hubungan orang Melayu yang telah lama berpecah.

“Beliau perlu lihat dalam suasana baharu politik Malaysia, dominasi Barisan Nasional (BN) sudah berubah berasaskan keputusan PRU14 lalu dan ambillah pengajaran daripadanya,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Katanya, orang Melayu-Islam perlu bersatu agar pihak musuh tidak mengambil kesempatan bagi menghuru-harakan kestabilan negara.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh mendakwa hubungan Umno dengan kedua-dua parti tersebut tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan negara kerana matlamat masing-masing seakan-akan sama sehingga boleh mencetuskan pergaduhan. – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -