GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam forum ‘Madah #DAPMuda: UiTM dan DAP?’ yang dijadualkan pada 18 November 2020. Penggunaan nama ‘UiTM’ yang terpampang di dalam poster tersebut jelas seperti ingin menyampaikan agenda politik jahat yang tidak mencerminkan aspirasi warga UiTM secara keseluruhannya.
GAMIS menentang apa-apa agenda yang akan mengganggu-gugat kedudukan UiTM. Umum mengetahui bahawa penubuhan UiTM sebagai universiti awam ditubuhkan bagi menyediakan peluang pendidikan tinggi dan profesional kepada Bumiputera. Di samping itu, UiTM juga ditubuhkan di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 173 pada tahun 1976 di bawah Undang-undang Malaysia.
GAMIS juga kesal dengan barisan panel-panel yang ditampilkan di mana mereka merupakan orang Melayu dan juga alumni UiTM, menunjukkan mereka tidak mampu memahami Visi dan Misi UiTM secara holistik. Mengapa begitu mudah panel ini dipengaruhi dengan agenda politik DAP?
Jika dilihat Perkara 153 termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak istimewa kepada semua orang yang mengakui dan diakui berbangsa Melayu dan Bumiputera tidak boleh dipertikaikan. Malah di dalam Bahagian I Akta 173 telah menjelaskan bahawa penubuhan selari dengan Perkara 153. Penubuhan UiTM adalah untuk Bumiputera, mengapa perlu dipolemikkan oleh DAP?
GAMIS menyeru semua pihak agar menolak sentimen yang cuba dibawa oleh DAP. Agenda DAP ini jelas mempunyai niat busuk untuk mempersoalkan status quo Melayu dan Bumiputera. Jangan sesekali kita melupakan Deklarasi Setapak yang pernah diisytiharkan oleh DAP. Rakyat Malaysia, tolak DAP!
“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”
SYAZWAN MOHD AMIR
Pengerusi Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 18/11/2020