Juruterbang ‘viral’ syor manfaatkan i-Sinar sepenuhnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas juruterbang yang tular selepas menjual mi kari dan bihun sup di Subang Jaya menasihati masyarakat yang kehilangan pekerjaan supaya memanfaatkan sepenuhnya inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung kemudahan akses simpanan persaraan Akaun 1 atau i-Sinar.

Kapten Azrin Mohamad Zawawi, 44, berkata mereka yang terkesan perlu mengambil peluang menjelaskan hutang sedia ada serta menggunakannya sebagai titik tolak menjana pendapatan baharu.

“Bergantung kepada minat masing-masing, contohnya jika minat menjahit mungkin boleh membeli mesin jahit dan mengambil tempahan daripada pelanggan,” katanya yang berpengalaman dalam bidang penerbangan selama 20 tahun sebelum ditamatkan perkhidmatan bulan lepas.

- Advertisement -

Dia berpandangan inisiatif KWSP itu dapat membantu individu terjejas menyelesaikan isu kewangan masing-masing, terutama bebanan hutang.

“Saya rasa beban hutang merupakan isu utama yang mahu diselesaikan oleh mereka yang terjejas. Jika boleh menyelesaikan hutang dengan simpanan KWSP ini, itu lebih baik,” katanya yang mencuri tumpuan orang ramai kerana berpakaian seragam juruterbang ketika berniaga.
 
KWSP pada Isnin lepas mengumumkan untuk memperluaskan skop i-Sinar merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Melalui kemudahan itu, ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, boleh mengakses amaun hingga RM9,000 manakala bagi ahli yang mempunyai baki lebih RM90,000, mereka mempunyai akses 10 peratus, namun amaun maksimum yang boleh didahulukan ialah RM60,000.

Dalam pada itu, bekas pramugara Mohamad Aizamuddin Zakry, 33, melihat inisiatif berkenaan seperti sinar di hujung terowong selepas diberhentikan kerja Jun lepas.

Menurut Mohamad Aizamuddin, wang pampasan yang diterimanya telah habis digunakan untuk menampung keperluan hidup dan membayar komitmen tertunggak kerana tidak mendapat gaji ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain dijadikan modal untuk membuka gerai makanan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Malangnya, gerai makanan terpaksa ditutup disebabkan kes COVID-19 yang tinggi di kawasan ini,  sekarang kedua-dua wang pampasan dan wang simpanan telah habis digunakan, saya betul-betul kesempitan wang, macam kais pagi makan pagi,” katanya yang berkhidmat lebih 10 tahun sebagai kru penerbangan.
 
Mohamad Aizamuddin berkata pengumuman KWSP itu memberi harapan dan semangat untuk dia terus bangkit mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

“Sekarang saya buka gerai makanan di Subang Jaya dengan meminjam modal daripada rakan-rakan dan keluarga. Sehari hanya boleh dapat dalam RM60, jadi saya terpaksa cari inisiatif lain dengan berniaga makanan sejuk beku, bukan tak cari kerja lain tetapi peluang dan tawaran tiada,” katanya.

Kakitangan sebuah syarikat penerbangan Azlan Ibrahim, 30, berkata pengumuman itu antara yang ditunggu-tunggu dan menjadi harapan buatnya yang telah kehilangan sumber pendapatan.

“Langkah ini sangat membantu dalam situasi kini memandangkan saya tiada pendapatan kerana terpaksa bercuti tanpa gaji,” katanya.
Berbeza pula bagi bekas pramugara Md Arif Kasim, 30, yang tidak berhasrat menggunakan kemudahan i-Sinar kerana mahu mengekalkannya sebagai simpanan masa depan.

“Setakat ini, saya masih ada sedikit wang simpanan sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun saya berpendapat kemudahan diumumkan kerajaan ini sangat membantu mereka yang tiada atau sudah kehabisan wang simpanan,” katanya yang diberhentikan perkhidmatan secara rasmi bulan lepas.

Md Arif yang berkhidmat lebih empat tahun dengan syarikat penerbangan tersebut mula berniaga makanan secara kecil-kecilan sejak Julai lepas bagi menjana pendapatan. – BERNAMA

- Advertisement -