5 nelayan ditemui terapung di laut

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Lima nelayan warga Myanmar ditemui selamat terapung-apung di laut selepas bot tunda mereka karam dipukul ribut dan ombak besar tengah malam tadi.

- Advertisement -

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kelima-lima mangsa dalam perjalanan untuk berlindung di Pulau Perhentian susulan angin kencang dan laut bergelora ketika kejadian itu berlaku jam 12 tengah malam.

“Mangsa pertama dijumpai jam 12 tengah malam pada jarak 12.1 batu nautika manakala empat mangsa ditemui pada jarak 21.9 batu nautika dari Pantai Tok Bali kesemuanya ditemui oleh bot nelayan yang lalu di lokasi kejadian,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Menurutnya juga mereka ditemui selepas terapung-apung di laut selama antara empat hingga lima jam sebelum diselamatkan.

Beliau berkata, kelima-lima mangsa yang berumur antara 24 hingga 53 tahun merupakan warga Myanmar dan tekongnya pula warga Thailand yang bekerja dengan lesen bot rakyat tempatan.

Katanya, kesemua mangsa bernasib baik kerana memakai jaket keselamatan yang mudah dikesan walaupun pada waktu malam selain membantu mengapungkan diri ketika berada dalam air.

Muhd Nur juga menasihatkan sepanjang musim tengkujuh pemilik bot sama ada bot pelancong dan pemancing menyediakan peralatan yang mencukupi termasuk alat komunikasi yang mampu dihubungi walaupun berada di tengah laut. – HARAKAHDAILY 18 /11/2020

- Advertisement -