15 keluarga terima notis minta pindah

KANGAR: Sebanyak 15 keluarga di Kampung Seri Kesinai, Padang Besar tidak menyangka ‘tanah kerajaan’ yang mereka diami sekarang milik persendirian.

Seorang penduduk Zaharah Zakaria, 65 berkata, keluarganya menetap di tanah tersebut sejak 1987 selepas dimaklumkan tanah di kawasan tersebut milik kerajaan.

Malah katanya, pada ketika itu arwah suaminya pernah merujuk perkara itu di Pejabat Tanah dan dimaklumkan bahawa status tanah di kawasan tersebut milik kerajaan.

Advertisement

“Namun pada tahun 2017 dan 2018 kami baru tahu bahawa tanah tersebut milik persendirian selepas menerima notis supaya keluar daripada kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui selepas menyerah memorandum kepada Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man di Pejabat Menteri Besar, semalam.

Memorandum itu disampaikan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Jeyakumar Devaraj kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Harmizan Abd Halim.

Masalah serupa turut dihadapi Fatimah Mohd Zain, 46. Beliau dan keluarga menduduki tanah tersebut kerana diberitahu milik kerajaan. – HARAKAHDAILY 18/11/2020