Tindakan PH boleh mangsakan penjawat awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bukan suatu yang pelik sekiranya Pakatan Harapan (PH) selaku pembangkang hari ini tidak menyokong Belanjawan 2021 yang buat pertama kalinya dibentangkan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata adakah seandainya dalam Belanjawan 2021 kerajaan meneruskan bantuan moratorium secara automatik dan membenarkan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluar sebanyak RM10,000, adakah mereka akan terima?

- Advertisement -

“Walaupun kita (kerajaan) kata adanya moratorium dilanjutkan dan KWSP dibenarkan keluar RM10,000 sekali pun, saya yakin dan percaya pihak pembangkang tetap juga akan menolak.

“Sudah terang lagi bersuluh sikap mereka ini untuk buktikan bahawasanya rakyat bersama dengan mereka. Sedangkan tindakan mereka itu (tidak menyokong) yang merugikan (mangsa) adalah rakyat terutama penjawat awam,” katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menyatakan pihaknya tidak akan menyokong Belanjawan 2021 jika pihak kerajaan tidak meminda beberapa perkara sebagaimana yang dinyatakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ustaz Idris menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan itu amat mendasari seluruh keperluan rakyat terutama pembelaan terhadap B40 yang merupakan golongan agak ketinggalan dalam sudut ekonomi.

Bagaimanapun, beliau menekankan penting kepada kerajaan PN supaya memastikan tidak berlaku ketirisan agar sumbangan kerajaan untuk rakyat yang telah dibentangkan dalam Bajet 2021 sampai kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -