Rumah Ibadat Hijau dilaksanakan KASA tahun depan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air menyasarkan untuk melaksanakan program Rumah Ibadat Hijau di 100 rumah ibadat di seluruh negara tahun depan.

Menterinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC)  juga sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan yang lebih inklusif dan mampan dengan memperkenalkan inisiatif Rumah Ibadat Angkat.

“Inisiatif itu bagi menggalakkan agensi, jabatan atau badan korporat memilih untuk bekerjasama dengan rumah ibadat pilihan dan memberi komitmen dalam bentuk sumbangan masa, tenaga serta kewangan kepada rumah ibadat.

- Advertisement -

“Objektif program Rumah Ibadat Hijau sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah iaitu menjadikan komuniti yang cekap tenaga, cekap air, mesra alam dan rendah karbon,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) berkenaan perkembangan program Masjid Hijau.
 
Menurut Tuan Ibrahim,  agensi dan jabatan di bawah kementeriannya telah memilih 12 rumah ibadat di lapan negeri untuk dijadikan Rumah Ibadat Angkat dan menjalankan program Rumah Ibadat Hijau. 

Katanya program Rumah Ibadat Hijau menekankan empat elemen hijau iaitu jimat penggunaan tenaga elektrik, jimat penggunaan air terutama ketika berwuduk di masjid dan surau, kurangkan penjanaan sisa dan uruskan sisa buangan dengan teratur serta menggalakkan pembelian dan penggunaan produk hijau.

Program Masjid Hijau merupakan antara program induk Rumah Ibadat Hijau yang merangkumi gereja, tokong, kuil serta rumah ibadat lain.

Beliau berkata program Rumah Ibadat Hijau dapat dicapai dengan membina kesedaran amalan hijau dalam kalangan ahli kariah, menerapkan dan mengembangkan budaya gaya hidup hijau serta mewujudkan mekanisme sumbangan Rumah Ibadat Hijau atau Wakaf Masjid Hijau bagi aplikasi teknologi hijau. – BERNAMA

- Advertisement -