Rumah hangus, ibu tunggal enam anak dibantu

- Advertisement -

HANG TUAH JAYA: Seorang ibu tunggal bersama enam ahli keluarganya yang kehilangan tempat tinggal telah mendapat perhatian PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang berhasrat membantu mencari sumbangan untuk membina rumah baharu bagi menggantikan rumah mereka yang hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Bachang Baroh, di sini, pada 12 November lepas.

Menurut wakil Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LLK) PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Dr. Khatijah Jumangat, setakat ini seorang dermawan dari Ayer Keroh Heights sudi menderma bahan binaan untuk membina rumah itu.

- Advertisement -

“Namun kos binaan masih belum mencukupi dan kita perlukan sumbangan tambahan untuk upah pekerja dan sebagainya,” ujar beliau.

Khatijah memaklumkan ibu tunggal tersebut Anisah Mamat, 41, turut menerima sumbangan barang keperluan dan wang ringgit hasil derma orang ramai yang telah disampaikan semasa aktiviti ziarah pagi kelmarin.

“Puan Anisah hanya bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan sebanyak RM350 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak yang masih bersekolah, ditambah pula dia juga menjaga ibunya yang berumur 76 tahun dan sedang uzur.

“Kini mereka tinggal sementara di rumah kosong berhampiran sehingga binaan rumah siap sepenuhnya,” kata Khatijah.

Ujarnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu serta PAS Kawasan Hang Tuah Jaya akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut berkenaan kos keseluruhan pembinaan rumah bersama keluarga mangsa kebakaran pada sesi pertemuan yang lain.

Aktiviti ziarah berkenaan turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip, Timbalan Yang Dipertua, Puhat Bedul, Pengerusi JPKK Pengkalan Batu, Rizal Idris dan Ahli Jawatankuasa PKHTJ serta pimpinan Muslimat PAS Cawangan Bachang.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Anisah Mamat melalui bank CIMB bernombor 7616271561 atau menghubungi Anisah di talian 011-11057695. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -