RM1 bilion kepada PPP tingkat pendapatan peneroka

KUALA LUMPUR: Sehingga akhir Oktober tahun ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah meluluskan 67 projek dengan nilai RM10.7 juta bagi projek tanaman dan ternakan di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Sebahagian projek telah dimulakan menerusi pembekalan input pertanian atau peralatan yang telah mula dibekalkan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai ejen perolehan Felda melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP).

Advertisement

Di samping itu, sebanyak 46 projek lagi melibatkan 32 projek individu dan 14 projek koperasi dengan nilai RM4.5 juta akan diluluskan dalam sedikit masa lagi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed bagi memastikan kelancaran PPP, Felda telah melaksanakan model baru pelaksanaan PPP bersama Agrobank menerusi program Quick Win untuk 10 koperasi dan 40 projek individu yang dianggarkan bernilai RM11 juta.

Selain itu, katanya lagi Projek Rintis Felda Bukit Rokan yang pertama telah dilaksanakan pada November 2019 di atas tanah seluas 50.7 ekar dan dijangka memanfaatkan seramai 240 peneroka.

“Selain daripada penglibatan peneroka dan generasi baharu sebagai peserta program individu melibatkan tanaman cili, cendawan, sayur-sayuran dan ternakan arnab, mereka juga digalakkan untuk bekerja di tapak projek.

“Sehingga kini, terdapat 43 orang warga Felda telah pun mula bekerja di tapak projek,” ucap Mustapa menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PAS-Sik] yang memintanya menyatakan perkembangan terkini projek tanaman kontan bagi memulihkan prestasi Felda bernilai RM1 bilion, di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, melalui kertas putih pada April 2019, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk PPP bagi meningkatkan pendapatan peneroka dan membantu usaha-usaha kerajaan menjamin keselamatan makanan negara (food security). – HARAKAHDAILY 17/11/2020