RCEP mengukuh kuasa ekonomi politik China

- Advertisement -

KELMARIN, 15 November Malaysia memeterai perjanjian perdagangan multi lateralisme Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP). Perdagangan bebas yang signifikan dan paling besar di dunia.

RCEP ditandatangani oleh sepuluh (10) negara ASEAN, tiga (3) negara Asia Timur (China, Jepun dan Korea Selatan) dan dua (2) negara Oceania (Australia dan New Zealand). Perjanjian RCEP tanpa kuasa ekonomi Amerika Syarikat dan India.

RCEP meliputi pasaran seluas 2.2 bilion populasi dunia dan bernilai USD 26 trilion KDNK global. Satu angka yang cukup menggambarkan kekuatan rangkaian ekonomi dan mengukuhkan rantaian bekalan dunia.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, dua kuasa ekonomi lain, India dan Amerika telah menarik diri daripada RCEP. Amerika lebih awal ekoran polisi luar ‘protectionism’ Donald Trump, manakala India mengambil sikap berhati-hati dengan perkembangan ekonomi global termasuk hubungan tegang isu ketenteraan (skirmishes) di sempadan China.

Selain faktor ekonomi, RCEP harus diamati daripada aspek geopolitik. China semakin berpengaruh selepas ketiadaan kuasa pengimbang India. Malah, RCEP yang mula diperkenal sejak November 2012 dianggap saingan kepada Trans Pacific Partnership (TPP) yang digagas oleh Barack Obama.

Keengganan penglibatan China dalam TPP memberi mesej penting ‘counter influence’ terhadap Amerika di Asia Pasifik. China juga dilihat tidak menjurus ke arah ‘dual circulation’, sebaliknya globalisasi China.

Presiden Xi Jinping telah memposisikan dirinya sebagai pemimpin populis di peringkat domestik di samping melebarkan sayap sebagai kuasa global. Impian ‘breathtaking’ Presiden China menerusi Belt and Road Initiative yang menghubungkan projek mega infrastruktur di kira-kira 70 buah negara di Asia, Eropah dan Afrika semakin terserlah dan kini beliau sangat cenderung untuk menyatukan China, Taiwan, Hong Kong dan Laut China Selatan.

Mior Isfandy Mior Azizan,
Penulis merupakan Setiausaha Akhbar Kementerian Alam Sekitar dan Air dan berkelulusan bidang Sains Politik – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -